KPM minta JPN, PPD selesai isu kerosakan infrastruktur sekolah di Kulai dan Pagoh | DagangNews Skip to main content

KPM minta JPN, PPD selesai isu kerosakan infrastruktur sekolah di Kulai dan Pagoh

Datuk Dr. Radzi Jidin beramah mesra bersama pelajar-pelajar sekolah
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 Feb - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meminta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mengambil tindakan segera bagi kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan di beberapa buah sekolah di Kulai dan Pagoh, Johor.

 

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, dalam tinjauannya ke 11 buah sekolah di kedua-dua daerah itu minggu lepas, pihak sekolah telah memaklumkan sebahagian infrastruktur sekolah mengalami kerosakan teruk dan perlu dibaiki segera. 

 

"Antaranya kerosakan bumbung di blok akademik dan pentadbiran serta tandas yang uzur. Selain itu, peralatan seperti penghawa dingin serta siling perlu dibaiki dan diselenggara dengan segera bagi mengelakkan kerosakan yang lebih teruk.

 

"Oleh itu, saya telah minta JPN dan PPD mengambil tindakan segera bagi melaksanakan pembaikan dan penyelenggaraan di sekolah yang terlibat. InsyaAllah, kita akan usahakan yang terbaik demi kesejahteraan anak-anak generasi pewaris negara di sekolah," katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

 

Dr. Radzi berkata, tinjauan pengoperasian dan infrastruktur sekolah di Kulai bermula dengan kunjungan ke Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPK) Vokasional Indahpura yang mempunyai 216 murid tingkatan 4 dan 5. 

 


"Kemudian ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Putra 2, sekolah baharu yang akan mula beroperasi pada Mac ini.

 

 

kpm
Datuk Dr. Radzi Jidin meninjau kerosakan siling di sekolah sekitar Kulai dan Pagoh

 

 

"Saya juga singgah ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Cheng, iaitu sekolah bantuan kerajaan sebelum ke Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Putra dan SK Putra Utama, sekolah dua sesi yang masing-masing mempunyai 1,892 dan 1,430 murid. 

 

"Saya turut berkunjung ke SK Sinar Bahagia yang terletak di Felda Taib Andak," katanya.

 

 

kpm
Datuk Dr. Radzi Jidin bersama pegawai memeriksa keadaan tandas sekolah

 

 

Tambah beliau, tinjauan di sekitar Pagoh pula melibatkan 5 buah sekolah, antaranya SMK FELCRA Bukit Kepong dan SK FELCRA Bukit Kepong. 

 

 

kpm

 

 

kpm

 

 

"Selain itu, saya juga ke SMK Lenga serta Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Pagoh, sebelum mengakhiri tinjauan di SMK Sultan Alauddin Riayat Shah 1, sekolah yang ditubuhkan pada tahun 1965 dan kini mempunyai 1,389 murid," katanya. - DagangNews.com