LONDON 1 Sept. – Majlis Laporan Kewangan (FRC) United Kingdom memfailkan pertuduhan terhadap KPMG LLP, yang merupakan bekas rakan kongsi bersama kakitangan yang masih berkhidmat dan bekas kakitangan firma perakaunan berkaitan dua audit ke atas dua syarikat UK.
KPMG bersama individu-individu tersebut didakwa memberikan ‘maklumat palsu dan memesongkan’ dan dokumen kepada FRC semasa kajian ke atas dua audit terhadap dua syarikat, kata badan perundangan tersebut, menurut Bloomberg News.
Satu adalah audit pada 2016, ke atas syarikat kontraktor Carillion Plc yang telah tutup operasi dan kedua, audit 2014 ke atas Regenersis Plc, kata FRC lagi.
KPMG tidak menjawab emel yang meminta firma tersebut mengulas mengenai pendakwaan FRC berkenaan.
KPMG kini berdepan tekanan yang semakin meningkat di UK di mana firma audit yang digelar Big Four telah didenda sebanyak £13 juta (RM74.25 juta) dan diberi amaran keras berikutan peranan mereka di dalam kes penjualan syarikat Silentnight Holdings Plc kepada firma ekuiti swasta Amerika Syarikat, HIG Capital.
Individu-individu yang didakwa oleh FRC adalah termasuk rakan-rakan kongsi yang terlibat di dalam audit kedua-dua syarikat Carillion dan Regenersis.
Kenyataan FRC tidak menyatakan butiran dakwaan kesalahan audit yang dimaksudkan sama ada dilakukan secara silap atau tidak teratur.
Audit penyata kewangan Carillion pada 2016, kini sedang disiasat di dalam siasatan berasingan.
Jawatankuasa tatatertib telah dipanggil untuk meneliti kes ini dan perbicaraan dijadual bermula 10 Januari depan. – DagangNews.com