KPower kini dikenali sebagai Reneuco Berhad | DagangNews Skip to main content

KPower kini dikenali sebagai Reneuco Berhad

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 24 Ogos - KPower Berhad (KPower) mengumumkan para pemegang sahamnya telah meluluskan pertukaran nama syarikat daripada KPower Berhad kepada Reneuco Berhad (Reneuco) semasa mesyuarat agung tahunan (AGM) yang diadakan secara maya hari ini.

 

Pengerusi Eksekutif KPower, Datuk Mustakim Mat Nun berkata, kelulusan penukaran nama syarikat merupakan satu langkah ke hadapan yang penting dengan inisiatif penjenamaan semulanya. 

 

"Nama baharu Reneuco bukan sahaja memberi kami peluang untuk membangunkan identiti tersendiri kami, tetapi ia juga lebih mencerminkan perniagaan teras kami dan kekuatan dalam ekonomi yang mampan dan hijau.

 

“Saya berasa rendah hati kerana mempunyai pasukan yang berkebolehan dan berpengalaman yang berkongsi semangat dan dedikasi sama dalam memacu perniagaan ke hadapan dengan meluaskan kehadiran kumpulan serta aliran pendapatan kami untuk mewujudkan perniagaan yang mampan. 

 

"Melangkah ke hadapan, kami komited ke arah mencapai potensi penuh kami untuk menjadi peneraju dalam segmen boleh diperbaharui, mampan dan hijau pada masa sama meningkatkan nilai pemegang kepentingan kami," katanya dalam satu kenyataan.

 

Nama 'Reneuco' berasal daripada gabungan "Re" yang mewakili tenaga dan sumber hijau, "Neu" yang bermaksud "baru" dalam bahasa Jerman untuk menandakan permulaan baharu bagi syarikat dalam misinya untuk masa depan yang mampan.

 

 "Co" menandakan kerjasama usaha kumpulan untuk terus menekankan kelahiran semula dan pembaharuannya, tumpuannya yang lebih tinggi dalam segmen boleh diperbaharui, mampan dan hijau serta peralihan kepimpinan dan kesinambungan daripada pengurusan terdahulu. - DagangNews.com