KPower perjelas operasinya bergerak bebas dari Serba Dinamik | DagangNews Skip to main content

KPower perjelas operasinya bergerak bebas dari Serba Dinamik

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Mei - Syarikat tenaga, Kpower Berhad tampil menjelaskan bahawa operasi perniagaannya diuruskan secara bebas daripada Serba Dinamik Holdings Berhad.

 

Ini selepas KPower ‘dihujani’ banyak persoalan berhubung pengumuman Serba Dinamik di Bursa Malaysia bahawa syarikat itu sedang melaksanakan tinjauan bebas khas.

 

Jelas KPower, Serba Dinamik dan kumpulan itu merupakan dua entiti berbeza yang dioperasikan secara bebas, kecuali mempunyai pemegang saham terbesar dan pengarah yang sama iaitu Datuk Dr. Ir. Ts. Mohd. Abdul Karim Abdullah.

 

“Mohd. Abdul Karim, sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif dan Bukan Bebas Kumpulan tidak terlibat dalam operasi atau pengurusan harian kumpulan.

 

“Dengan pengecualian berkongsi setiausaha syarikat, KPower juga terlibat dengan penasihat profesional yang berbeza seperti pengaudit luaran, peguam urus niaga, firma perhubungan awam dan pelaburan dalam perniagaan kumpulan dan perkara korporat lain,” jelas kumpulan itu dalam satu kenyataan, lewat petang semalam.

 

Tambah Kpower, kumpulan itu diterajui oleh Pengarah Urusan Kumpulan, Mustakin Mat Nun dan disokong oleh pasukan pengurus profesional yang tidak memegang apa-apa jawatan dalam Serba Dinamik serta sebaliknya.

 

Setakat ini, Kpower mendakwa kumpulan tidak mempunyai urus niaga pihak berkaitan yang bertindih (RRPT) dengan Serba Dinamik.

 

“Kesemua RRPT berlaku antara kumpulan dan OHP Group Sdn. Bhd., anak syarikat yang dimiliki oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Amirul Afif Abd. Aziz.

 

“Semua projek yang bersumberkan KPower tidak melibatkan Serba Dinamik,” tambah kumpulan itu lanjut.

 

Menerusi makluman Serba Dinamik pada 25 Mei lalu, syarikat itu menjelaskan bahawa Lembaga Pengarahnya telah dimaklumkan oleh pengaudit luaran berhubung beberapa perkara melibatkan audit berkanun.

 

Sehubungan itu, pihak Lembaga Pengarah Serba Dinamik sedang melantik firma bebas bagi melaksanakan tinjauan bebas khas untuk menilai kesahihan perkara tersebut.

 

Dalam satu kenyataan berbeza, Serba Dinamik memberi jaminan kepada pemegang sahamnya bahawa pihak pengurusan syarikat telah mengambil tindakan segera bagi menangani isu audit yang dibangkitkan pengaudit luarannya, KPMG PLT.

 

Isu itu sebenarnya melibatkan audit berkanun tahunan bagi tahun kewangan syarikat yang berakhir 31 Disember, namun sebarang maklumat lanjut tidak diperincikan oleh Serba Dinamik.

 

Pada pagi ini, Bursa Malaysia meluluskan permohonan Serba Dinamik untuk menggantungkan urus niaga sahamnya bermula 9 pagi sehingga 5 petang pada 27 Mei. - DagangNews.com