Krisis Air Selangor: 948 kawasan pulih sepenuhnya | DagangNews Skip to main content

Krisis Air Selangor: 948 kawasan pulih sepenuhnya

air selangor

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 7 Sept. - Sebanyak 948 kawasan yang mengalami masalah gangguan bekalan air tidak berjadual telah berjaya pulih sepenuhnya setakat pukul 6.30 pagi tadi.

Ketua Pegawai Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor (Air Selangor), Elina Baseri berkata, sebanyak 344 kawasan masih lagi dalam proses pemulihan.

"Secara keseluruhan 73.37% daripada 1,292 kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual itu telah pulih sepenuhnya.

"Bagi kawasan kumpulan 1 yang sepatutnya pulih sepenuhnya pada pukul 12 tengah malam 7 September 2020 (hari ini), masih belum pulih sepenuhnya di 71 kawasan disebabkan oleh penyimpanan air berlebihan oleh pengguna yang telah mula menerima bekalan air," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, Air Selangor sedang mengambil tindakan untuk menstabilkan sistem agihan bagi memulihkan kawasan-kawasan yang berada di bawah kumpulan 1 yang meliputi beberapa kawasan di Klang/Shah Alam, Gombak dan Kuala Lumpur.

Dalam kenyataan yang sama, Air Selangor turut mengeluarkan peratusan pemulihan kawasan yang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Wilayah Petaling (91.78%), Klang/Shah Alam (38.42%), Gombak (72.99%), Kuala Lumpur (47.37%), Hulu Selangor (100%), Kuala Langat (50%) dan Kuala Selangor (99.25%).

Sementara itu, beliau turut menasihati pengguna agar tidak menyimpan dan menggunakan air berlebihan bagi memastikan proses pemulihan bagi kawasan-kawasan yang masih terjejas berjalan lancar mengikut jadual pelan pemulihan.

"Air Selangor menasihatkan pengguna untuk mendapatkan maklumat rasmi melalui hebahan rasmi atau saluran-saluran interaksi Air Selangor dan tidak menyebarkan berita tidak sahih," tegasnya.

Sejak 3 September lalu, DagangNews.com melaporkan sebanyak 1,292 kawasan di sekitar Lembah Klang, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mengalami masalah gangguan bekalan air tidak berjadual.

Ganguan yang berlaku itu disebabkan pencemaran sumber air mentah hingga menyebabkan pihak Air Selangor menghentikan operasi loji rawatan air Sungai Selangor di Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang akibat pencemaran berkenaan. - DagangNews.com