KSK Land kemuka notis timbang tara dalam pertikaian 8 Conlay susulan tuntutan RM102 juta GDB | DagangNews Skip to main content

KSK Land kemuka notis timbang tara dalam pertikaian 8 Conlay susulan tuntutan RM102 juta GDB

KUALA LUMPUR 2 Mei - Anak syarikat GDB Holdings Bhd, Grand Dynamic Builders Sdn Bhd (GDBSB) telah menerima notis timbang tara daripada Damai City Sdn Bhd (DCSB), anak syarikat KSK Land Sdn Bhd berhubung pertikaian penamatan projek 8 Conlay.

 

Dalam makluman GDB di Bursa Malaysia hari ini, DCSB telah menuntut kos dan perbelanjaan yang ditanggung disebabkan kelewatan penyiapan projek itu, termasuk kehilangan keuntungan, reputasi dan ganti rugi am untuk pelanggaran kontrak.

 

Notis timbang tara itu dikeluarkan dan diserahkan kepada GDBSB pada 28 April 2023 sebagai maklum balas kepada notis tuntutan GDBSB berjumlah RM102.07 juta pada 25 April yang perlu dibayar pada atau sebelum 2 Mei.

 

GDBSB dilantik sebagai kontraktor utama bagi projek pembangunan bercampur perdana 8 Conlay untuk KSK Land selepas GDB memperoleh surat niat pada Oktober 2020.

 

Bagaimanapun, pada 19 April 2023, KSK Land telah menamatkan kontrak tersebut GDBSB berikutan kegagalan mencapai persetujuan untuk menyelesaikan pelbagai pertikaian berkaitan hal tapak pembinaan dalam tempoh sembilan bulan sebelumnya.

 

 

BACA: KSK tamatkan kontrak GDBSB sebagai kontraktor utama projek 8 Conlay

 

 

GDBSB berkata ia boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap DCSB jika gagal membayar jumlah tertunggak RM102.07 juta, termasuk memulakan prosiding hukuman terhadap DCSB di bawah Akta Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan 2012.

 

GDBSB juga boleh memulakan prosiding timbang tara terhadap DCSB. -DagangNews.com