KSN kesal ada penjawat awam ‘makan’ rasuah | DagangNews Skip to main content

KSN kesal ada penjawat awam ‘makan’ rasuah

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 April - “Saya amat kesal terdapat segelintir penjawat awam yang membenarkan diri mereka diperguna oleh pihak berkepentingan untuk habuan lumayan.”

 

Itu luahan yang dilontarkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali ketika mengulas mengenai pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap sindiket kartel tender kerajaan bernilai RM3.8 bilion. 

 

Beliau memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana penjawat awam yang terlibat dalam isu berkenaan atau sebarang salah laku yang menjejaskan imej perkhidmatan awam sekiranya dibuktikan bersalah.

 

“Saya menyokong penuh kepada segala usaha untuk membanteras apa jua bentuk salah laku dan penyelewengan yang berlaku dalam sistem penyampaian kerajaan terutama isu berkaitan rasuah yang dikendalikan oleh SPRM.

 

“Pendedahan SPRM terhadap sindiket kartel tender kerajaan yang bernilai RM3.8 bilion amat membimbangkan.

 

"Kes ini telah mula dikesan semenjak tahun 2014, dan hasil pemerhatian serta risikan berterusan pihak SPRM telah berjaya membawa kepada penahanan beberapa individu yang menjadi suspek utama siasatan,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini. 

 

Tambah Mohd. Zuki, beliau telah berulang kali memberi peringatan kepada semua ketua jabatan supaya menerap dan memegang utuh konsep integriti dalam pengurusan organisasi dengan memperkukuh program kesedaran dan pencegahan selaras dengan pelaksanaan Pelan Anti-Rasuah Nasional (NACP). 

 

“Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah diarahkan untuk melaksanakan pusingan kerja bagi pegawai di jawatan-jawatan sensitif yang cenderung kepada isu berkaitan salah laku,” katanya lagi. - DagangNews.com