KTMB, UTHM lancar teknologi data raya bagi sistem elektrikfikasi tren | DagangNews Skip to main content

KTMB, UTHM lancar teknologi data raya bagi sistem elektrikfikasi tren

KUALA LUMPUR 10 Mac - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah melancarkan teknologi data raya yang dibangunkan bagi sistem elektrifikasi tren secara maya, hari ini.

 

Kerjasama penyelidikan ini berbentuk perkongsian kepakaran oleh kumpulan penyelidik UTHM bersama KTMB menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimetrai pada 3 Ogos 2020 lalu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd. Rani Hisham Samsudin berkata, pihaknya sentiasa terbuka dengan kerjasama startegik dengan mana-mana pihak kerana ia dilihat boleh membantu mereka melangkah ke era digital dan ia penting bagi sistem elektrifikasi perkhidmatan KTMB. 

 

“Hari ini, kita dapat menyaksikan satu produk yang dihasilkan berasaskan konsep Big Data Analytics di mana, data-data yang dijana melalui sistem SCADA digunakan khusus untuk pemantauan sistem elektrifikasi dianalisa oleh sistem pengkomputeran dan menghasilkan trend dan corak.

 

"Ia dapat membantu jabatan elektrifikasi untuk membuat keputusan agar tindakan awal dapat diambil segera dalam menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Projek pembangunan aplikasi ini telah dijalankan dan dimulakan sejak tahun 2019 oleh kumpulan penyelidik UTHM yang diketuai Dr. Hairulazwan Hashim dari Pusat Kecemerlangan ICoE-Rel bersama pasukan dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) dan Pusat Pengajian Diploma (PPD). 

 

uthm

 

Penyelidikan itu adalah hasil kerjasama dengan syarikat Prestigious Discovery Sdn. Bhd. (PDSB) yang mempunyai kepakaran dalam sistem SCADA.

 

ktmb

 

Hairulazwan juga menzahirkan hasrat untuk terus meneroki peluang-peluang kajian dan pembangunan (R&D) baharu yang sebahagiannya dijalankan secara dalam talian mengikut kesesuaian projek.

 

Beliau berkaya, penyelidik juga perlu aktif membantu menghasilkan inovasi sistem megikut kepakaran masing-masing bagi membantu menaikkan nama UTHM sebagai peneraju utama universiti awam dalam bidang pengangkutan rel. - DagangNews.com