Kumpulan Perangsang Selangor jual 3 tanah di Johor bernilai RM22.5 juta | DagangNews Skip to main content

Kumpulan Perangsang Selangor jual 3 tanah di Johor bernilai RM22.5 juta

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Julai - Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS) menerusi anak syarikat yang dimiliki secara tidak langsung, Toyoplas Manufacturing (Malaysia) Sdn. Bhd. (TTM) mahu menjual tiga bidang tanah yang terletak di Mukim Plentong, Johor Bahru, Johor dengan nilai berjumlah RM22.5 juta. 

 

Ketiga-tiga bidang tanah itu akan dijual, didatangi dengan kilang kepada Wiley Development Sdn. Bhd., masing-masing bernilai RM7.5 juta, menurut KPS dalam maklumannya di Bursa Malaysia.

 

“Lembaga Pengarah berpendapat bahawa Pertimbangan Pelupusan adil kerana menganggap ini adalah tawaran terbaik yang diterima oleh TMM untuk mana-mana hartanahnya yang mahu dijual lebih daripada setahun.

 

“Pelupusan ini membolehkan Kumpulan KPS mengewangkan aset yang tidak digunakan dan menjana wang tunai untuk disalurkan bagi tujuan lain termasuk untuk membiayai perbelanjaan modal yang dirancang sesuai dengan rancangan perniagaan Kumpulan KPS. 

 

“Pelupusan ini juga memberi peluang kepada TMM untuk memfokuskan perniagaan teras yang iaitu pembuatan tanpa perlu memperuntukkan sumbernya untuk penyelenggaraan daripada hartanah yang tidak digunakan,” jelas KPS.

 

Pelupusan itu dijangka menghasilkan tunai bersih kira-kira RM20.3 juta di mana sebanyak RM16 juta akan digunakan sebagai perbelanjaan modal untuk pengembangannya ke Vietnam dan selebihnya untuk modal bekerja bagi TMM serta anak syarikatnya. 

 

Kesemua hasil tunai bersih itu akan digunakan dalam tempoh 12 bulan daripada tarikh penerimaan jumlah pelupusan. 

 

Ketiga-tiga bidang tanah itu diambil alih oleh TMM pada tahun 2004 yang sebelum ini digunakan untuk perniagaan acuan suntikan plastik, direka untuk kawasan pengeluaran, penyimpanan dan pejabat. 

 

Namun, kesemua hartanah itu telah dikosongkan sejak Februari 2020 selepas operasi TMM termasuk mesin-mesinnya dialihkan ke kilang baharu terletak di Senai, Johor. - Dagangnews.com