KUALA LUMPUR 14 Jan - Kumpulan United Overseas Bank Limited (UOB) berjaya mencapai persetujuan dengan cadangan pengambilalihan perniagaan perbankan pengguna Citigroup yang terdiri daripada portfolio pinjaman tidak bercagar dan bercagar, pengurusan kekayaan dan perniagaan deposit runcit (Perniagaan Pengguna) di Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam.
Perniagaan Pengguna Citigroup mempunyai nilai aset bersih agregat berjumlah kira-kira S$4 bilion (RM12.43 bilion) dan asas pelanggan sekitar 2.4 juta pada 30 Jun 2021, dan berjaya menjana pendapatan sebanyak S$0.5 bilion (RM1.55 bilion) pada separuh pertama 2021.
Cadangan Pengambilalihan ini dijangka menunjukkan pertambahan kepada pendapatan sesaham (EPS) dan pulangan atas ekuiti (ROE) UOB.
Jumlah pertimbangan tunai untuk cadangan pengambilalihan itu adalah bersamaan dengan S$915 juta (RM2.83 bilion) ditambah dengan nilai aset bersih Perniagaan Pengguna apabila selesai dan ia tertakluk kepada kelulusan kawal selia dari setiap negara-negara terlibat dan ia dijangka selesai antara pertengahan 2022 dan awal 2024.
Timbalan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif UOB, Wee Ee Chong berkata, pengambilalihan perniagaan runcit Citigroup untuk pasaran Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vitenam merupakan peluang terbaik untuk UOB terus berkembang di rantau Asia Tenggara.
"Kami berharap untuk menyepadukan portfolio Citigroup yang berkualiti dan mengalu-alukan kehadiran pasukannya, selain mewujudkan nilai untuk asas pelanggan, kakitangan dan pihak berkepentingan lain kami yang semakin bertambah.
"Perniagaan yang diambil alih, bersama dengan francais pengguna serantau UOB, akan menghasilkan gabungan mantap yang akan meningkatkan perniagaan Kumpulan UOB di samping memajukan kedudukan kami sebagai bank serantau yang terkemuka.” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Perniagaan Pengguna Citigroup mempunyai kira-kira 5,000 kakitangan termasuk pengurusan kanan dan pasukan yang berpengalaman dan UOB amat mengalu-alukan kehadiran kakitangan serta pelanggan Citigroup selepas dimaklumkan mengenai cadangan pengambilalihan itu.
Credit Suisse (Singapore) Limited akan bertindak sebagai penasihat kewangan kepada Kumpulan UOB dalam cadangan pengambilalihan ini manakala Allen & Overy LLP (Singapura) merupakan penasihat undang-undangnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Asia Pasifik Citi, Peter Babej menzahirkan keyakinan bahawa UOB akan menyediakan peluang yang baik kepada kakitangan perbankan pengguna Citigroup di Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam.
"UOB akan memberi tumpuan kepada perniagaan kami melalui langkah ini akan memudahkan pelaburan tambahan dalam bidang tumpuan strategik kami, termasuk rangkaian institusi kami di seluruh Asia Pasifik,” katanya. - DagangNews.com