Kuota solar 2.4GW bagi program LSS dan NEM baharu dianggar bernilai sehingga RM8.4 bilion – MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Kuota solar 2.4GW bagi program LSS dan NEM baharu dianggar bernilai sehingga RM8.4 bilion – MIDF Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 29 Jan - Program solar berskala besar (LSS) dan pemeteran tenaga bersih (NEM) baharu dengan kuota solar berjumlah 2.4GW (gigawatt) dianggar menawarkan kerja kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai RM7.2 bilion hingga RM8.4 bilion.

 

MIDF Research berkata demikian selepas Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam mengumumkan empat inisiatif dan program tenaga boleh diperbaharui (RE) bagi 2024 pada minggu lepas.

 

Ini merangkumi program LSS kelima dengan kuota keseluruhan 2GW; penambahan kuota program NEM sebanyak 400MW; penjanaan tenaga rendah karbon menerusi mekanisme Pengaturan Penghantaran Dipertingkat Baharu (NEDA) dengan 400MW kuota; dan projek perintis sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) berkapasiti 400MW.

 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Program solar berskala besar kembali dengan kuota 2GW, bidaan dibuka pada 1 April 2024

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kuota program pemeteran tenaga bersih ditambah 400MW mulai Februari hingga Disember 2024

 

Mengesahkan semula pendirian positif terhadap sektor kuasa, MIDF Research berkata pengumuman tersebut menyokong keterlihatan kukuh bagi perancangan RE sektor kuasa tahun ini.

 

Menurut firma itu, kerja EPCC bagi program LSS dan NEM baharu berkemungkinan ditender dalam tempoh 12 hingga 24 bulan akan datang, memberikan peluang pengembangan buku pesanan yang besar.

 

“Kami berpendapat bahawa penggiat EPCC RE seperti Samaiden (beli, TP: RM1.54), Sunview (beli, TP: RM1.13), Pekat (beli, TP: RM0.63) dan Solarvest (tiada saranan) adalah antara penerima manfaat dalam jangka segera memandangkan terdapat potensi peningkatan permintaan untuk perkhidmatan tersebut,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Dalam ruang pemilik aset, firma penyelidikan tersebut percaya syarikat besar dalam sektor utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) (beli, TP: RM11) dan YTL Power (beli, TP: RM2.99) berkemungkinan menjadi peneraju dalam konsortiumnya, terutamanya untuk bidaan kapasiti yang lebih besar.

 

Program LSS terbaharu meningkatkan had bidaan kapasiti kepada 500MW, justeru MIDF Research menganggap projek sebesar itu mungkin memerlukan perbelanjaan modal yang besar antara RM2 bilion hingga RM2.3 bilion yang memerlukan kapasiti kunci kira-kira yang agak menuntut.

 

Firma itu turut menekankan bahawa penerima LSS terdahulu juga termasuk pemain bukan utiliti daripada sektor hartanah, perladangan dan pembinaan.

 

Oleh itu, ia berkata mana pemilik tanah boleh masuk sebagai rakan kongsi strategik memandangkan keperluan besar untuk bank tanah contohnya, ladang solar 500MW dianggarkan memerlukan sekurang-kurangnya 809 hektar tanah.   - DagangNews.com