KWAP sasar tingkatkan, tambah baik pendedahan antarabangsanya - Nik Amlizan | DagangNews Skip to main content

KWAP sasar tingkatkan, tambah baik pendedahan antarabangsanya - Nik Amlizan

KUALA LUMPUR 17 Okt - Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP berhasrat untuk meningkatkan dan menambah baik pendedahan antarabangsanya berikutan strategi kepelbagaian dan perjalanannya untuk mencari pertumbuhan di peringkat global sambil memfokuskan kepada tiga sektor dalam pasaran domestik.

 

Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Nik Amlizan Mohamed berkata, dana itu telah melabur di lebih 40 negara dan berminat untuk mendapatkan sebarang peluang yang memberikan pulangan lebih besar tanpa melihat hanya kepada negara sasaran tertentu.

 

"Bagi pasaran domestik, kami berminat dengan apa-apa kaitan dengan pendekatan pelaburan impak seperti sekuriti makanan, tenaga boleh diperbaharui dan pelaburan ke atas perkhidmatan berkaitan persaraan," katanya semasa sesi perbualan maya kelolaan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) 2022 hari ini.

 

Selain itu, beliau berkata KWAP juga sedang mencari peluang pelaburan dalam industri perbankan kerana kaunter dalam sektor itu telah menunjukkan pertumbuhan sihat di Bursa Malaysia, yang seterusnya memberikan keyakinan pelabur.

 

“Lebih-lebih lagi, kita mesti bersedia untuk memanfaatkan peluang jika pasaran mengalami kemelesetan (selanjutnya) kerana itu akan menjadi masa terbaik untuk melihat ke arah penyesuaian semula pulangan untuk berada pada tahap yang lebih tinggi.


 

Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Nik Amlizan Mohamed
                                Nik Amlizan Mohamed

 

 

“Bagi KWAP pula, kami perlu memastikan keupayaan kami untuk menjadi tangkas, dinamik serta mempunyai bakat yang kuat dan membina organisasi agar dapat mengharungi masa mencabar yang kami hadapi pada masa ini dan akan datang,” katanya, Bernama melaporkan.

 

KWAP menguruskan sumbangan yang Kerajaan Persekutuan dan agensi berkaitan dibuat ke dalam dana persaraan dan bertujuan untuk mendapatkan pulangan optimum ke atas pelaburannya dalam ekuiti, sekuriti pendapatan tetap, instrumen pasaran wang dan lain-lain bentuk pelaburan seperti yang dibenarkan di bawah Akta Kumpulan Wang Persaraan.

 

Dana itu akan digunakan untuk membantu Kerajaan Persekutuan dalam membiayai duti pencennya. - DagangNews.com