KWSP lancar dana patuh syariah terbesar di dunia bernilai AS$600 juta | DagangNews Skip to main content

KWSP lancar dana patuh syariah terbesar di dunia bernilai AS$600 juta

 

 

 

KUALA LUMPUR 26 Feb. - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melancarkan dana Akaun Terurus Berasingan (SMA) pelaburan langsung/pelaburan bersama Ekuiti Persendirian (PE) patuh syariah yang pertama dan terbesar di dunia dengan peruntukan sebanyak AS$600 juta.

 

Menerusi peruntukan tersebut, KWSP menubuhkan 3 dana SMA bernilai AS$200 juta setiap satu yang akan dikendalikan oleh 3 Pengurus Dana Ekuiti Persendirian - BlackRock, HarbourVest Partners LLC, dan Partners Group AG. 

 

Dana-dana ini diberi mandat global yang memberi fokus kepada strategi pelaburan langsung dan pelaburan bersama ke dalam urus niaga pertumbuhan dan pembelian.

 

Tempoh pelaburan bagi dana SMA tersebut adalah dari 2021 hingga 2025, sementara tempoh hayat dana akan berlangsung mulai 2021 hingga 2031, tertakluk kepada tempoh lanjutan seterusnya dengan persetujuan KWSP.

 

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pegawai KWSP, Alizakri Alias berkata, KWSP berbesar hati menjadi pelabur institusi pertama yang mewujudkan dana pelaburan langsung/pelaburan bersama ekuiti persendirian patuh syariah dan terbesar di dunia, dengan mandat pelaburan global. 

 

Menurutnya, usaha itu bermula sejak 2018 untuk mempelbagaikan portfolio pelaburan demi memastikan pulangan pelaburan yang mapan kepada ahli.

 

"KWSP yakin dengan ketiga-tiga Pengurus Dana tersebut untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti pelaburan langsung dan pelaburan bersama, kerana mereka berpengalaman luas dalam mengendalikan pelaburan ekuiti persendirian dan telah mempunyai pendedahan dalam menguruskan mandat patuh syariah," katanya.

 

Bahagian pelaburan ekuiti persendirian KWSP mempunyai pendedahan terhadap pelaburan di peringkat global, dengan strategi meliputi pertumbuhan, pembelian, permodalan pasaran sederhana dan permodalan pasaran besar, ke dalam 106 pelaburan aktif dengan komitmen keseluruhan sebanyak AS$12.05 bilion. 

 

Setakat suku kedua 2020, Amerika Utara (42%), Eropah (21%) dan China (12%) merupakan 3 pecahan geografi terbesar di mana KWSP telah melabur di bawah mandat ekuiti persendirian.

 

Dana-dana SMA ini telah melantik Amanie Advisors Ltd, Dubai dan ZICO Shariah Advisory Services Sdn. Bhd. sebagai penasihat syariah untuk memastikan semua pelaburan yang dilakukan adalah patuh syariah. 

 

Kesemua dana SMA ini dibentuk berdasarkan struktur Wakalah, atau gabungan struktur Wakalah dan Murabahah mengikut garis panduan pelaburan syariah. - DagangNews.com