KWSP nak jual 7 aset? | DagangNews Skip to main content

KWSP nak jual 7 aset?

 

KUALA LUMPUR 16 Feb. - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) didakwa berhasrat untuk menjual sekitar tujuh aset miliknya di beberapa buah negeri.

 

Penjualan aset-aset berkenaan dianggarkan mampu mendatangkan nilai sehingga RM350 juta ke RM450 juta, menurut sumber. 

 

Kesemua aset itu dipercayai terletak di Perlis, Kedah, Selangor, Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan.

 

Sumber dari KWSP mendedahkan bahawa dalam pengurusan biasa pelaburannya sebagai pelabur strategik jangka panjang bagi memanfaatkan 14.8 juta ahlinya, agensi itu sentiasa dalam proses memperoleh dan melupuskan aset, termasuk hartanah.

 

“Operasi ini dikawal selia melalui struktur tadbir urus dana yang kuat, dan semua keputusan pelaburan didasarkan pada kerangka peruntukan aset strategiknya, yang mengoptimumkan pulangan dalam had risiko yang dapat diterima. 

 

“Selain sebagai lindung nilai inflasi, dana aset hartanah telah memberikan pulangan yang disesuaikan dengan risiko kompetitif dalam jangka masa sederhana hingga panjang,” ujarnya menurut laporan The Edge.

 

Difahamkan, sekitar tiga aset yang hendak dijual itu merupakan bangunan pejabat yang sedang digunakan oleh KWSP.

 

Ini dikatakan melibatkan dua bangunan di Kuala Lumpur, iaitu Bangunan KWSP di Jalan Raja Laut dan Bangunan KWSP di Changkat Raja Chulan serta satu lagi di Petaling Jaya, Selangor - Bangunan KWSP Damansara Fairways.

 

Bangunan KWSP di Jalan Raja Laut yang kini merupakan ibu pejabat agensi itu dipercayai bernilai antara RM170 juta dan RM250 juta.

 

Susulan penjualan bangunan itu, KWSP dilaporkan bakal memindahkan ibu pejabatnya ke Kwasa Utama, Selangor.

 

Di Negeri Sembilan, penjualan aset KWSP didakwa melibatkan Avillion Admiral Cove di Port Dickson sementara aset kelima difahamkan sebuah hartanah runcit di Seksyen 18, Shah Alam Selangor yang sebelum ini disewakan kepada pusat beli belah Giant.

 

Nilai hartanah runcit itu dipercayai yang terendah sekitar RM15 juta dan difahamkan kosong sejak Giant berhenti beroperasi di situ pada penghujung Jun 2019.

 

Pada November tahun lalu, KWSP dilaporkan akan terus mencairkan asetnya bagi  menyediakan dana kepada pencarum untuk mengeluarkan wang daripada Akaun 1 dan Akaun 2 mereka.

 

Ketika itu, KWSP menganggarkan pengeluaran di bawah skim i-Sinar dan i-Lestari melibatkan nilai sekitar RM45 bilion yang akan dikeluarkan daripada agensi pengurusan dana pelaburan itu menjelang tahun ini. - DagangNews.com