KWSP, sila berhati-hati jual aset | DagangNews Skip to main content

KWSP, sila berhati-hati jual aset

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

Bimbang sebenarnya jika pengurus dana persaraan tertua dan terbesar di Malaysia mula berhasrat untuk melupuskan aset yang besar. 

 

Jika benar hasrat itu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu melakukannya dengan mengambil kira segenap aspek risiko, dan sudah pasti agensi berkenaan mempunyai strategi kecairan aset tersendiri. 

 

Media pula berjaya menghidu hasrat KWSP yang didakwa mahu melupuskan sekitar tujuh aset hartanahnya termasuk ibu pejabatnya yang terletak di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur serta sebuah hotel dan resort di Port Dickson, Negeri Sembilan. 

 

Mulalah tercetus di minda pelbagai pihak untuk melengkapkan teka-teki penjualan itu, adakah ini sebenarnya dikaitkan dengan kemudahan i-Sinar?

 

Dek KWSP perlu memperuntukkan sehingga RM70 bilion bagi kemudahan pengeluaran itu - seperti mana didedahkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz - penjualan aset itu seolah-olah merupakan jalan keluar untuk menyuntik dana.

 

Tapi tidak bagi pandangan penganalisis. Sebaliknya, jika laporan pelupusan tujuh aset hartanah berkenaan disahkan benar, ini lebih dilihat sebagai sebahagian daripada pelan strategik jangka panjang KWSP.

 

“Walaupun persepsi orang ramai melihat ini sebagai tindakan mencairkan aset untuk tujuan menampung pengeluaran i-Sinar, kita juga harus maklum bahawa KWSP sememangnya mempunyai perancangan awal untuk berpindah ke nukleus pentadbiran KWSP di Kwasa Damansara. 

 

“Jadi pelupusan aset-aset ini dilihat sebahagian dari perancangan awal sebelum ini dan bukan sesuatu yang baharu,” ujar Penyelidik dari Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid kepada DagangNews.com

 

KWSP dilaporkan mahu menjual aset-aset berkenaan yang dianggarkan mampu mendatangkan nilai sehingga RM350 juta ke RM450 juta, menurut laporan The Edge. 

 

Baca : KWSP nak jual 7 aset? 

 

Kesemua aset itu dipercayai terletak di Perlis, Kedah, Selangor, Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan.

 

Disebabkan terdapatnya pengumuman pengeluaran caruman menerusi i-Sinar dan i-Lestari, jadi sebarang penjualan aset atau pelupusan pelaburan ‘menarik’ perhatian pelbagai pihak. 

 

Ini terutamanya apabila tercetusnya persoalan sama ada tindakan itu menjejaskan kadar dividen dan pulangan yang akan diberikan kepada pencarum. 

 

Baharom yang juga merangkap Naib Presiden Persatuan Ekonomi Gunaan Asia Pasifik (APAEA) tidak menafikan bahawa pelupusan aset, ditambah kadar caruman yang diturunkan mempunyai impak negatif, namun ini hanya menjejaskan dividen 2021 yang akan diumumkan pada tahun hadapan. 

 

“...Dan bukannya dividen yang akan diumum pada tahun ini, yang sebenarnya berdasarkan prestasi 2020. 

 

“...Dan untuk dividen yang akan diumumkan, jika sekitar 4.5% hingga 5% (kadar dividen), dijangka KWSP terpaksa mengetepikan sejumlah RM10 bilion hingga RM12 billion untuk tujuan agihan,” jelas Baharom lanjut. 

 

Dividen bagi tahun 2019 menyaksikan kadar yang terendah dalam tempoh sepuluh tahun iaitu 5.45% dengan nilai pembayaran sehingga RM41.68 bilion bagi Simpanan Konvensional.

 

Simpanan Shariah 2019 pula menyaksikan kadar dividen 5% dengan nilai pembayaran RM4.14 bilion, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pembayaran dividen sehingga RM45.82 bilion bagi tahun berkenaan.

 

Dari aspek pasaran ekuiti, Baharom bagaimanapun memberi amaran bahawa pelupusan ekuiti oleh KWSP harus dilakukan secara berhati-hati, kerana KWSP adalah pemain yang agak besar dalam pasaran tempatan. 

 

Ujarnya, jika berlaku lambakan jualan, dikhuatiri memberi impak besar terhadap pasaran saham tempatan secara keseluruhannya.

 

Dalam pada itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata kepada DagangNews.com bahawa beliau tidak pasti sama ada pasaran ekuiti tempatan bakal menyaksikan lambakan penjualan saham oleh KWSP untuk menampung peruntukan pengeluaran i-Sinar.

 

“KWSP sememangnya mempunyai aliran tunainya yang tersendiri seperti caruman, dividen syarikat, faedah daripada deposit, keuntungan pelaburan, sewa dan sebagainya.

 

“Penjualan aset merupakan salah satu perkara dalam pengurusan aset dan liabiliti KWSP. Ada banyak perkara yang akan diambil kira oleh KWSP dalam menguruskan aset dan liabiliti mereka dan bukan hanya penjualan aset semata-mata,” jelasnya. 

 

Untuk rekod, KWSP mencatatkan nilai RM960 bilion aset di bawah pengurusan setakat Disember tahun lalu. 

 

Malah, Tengku Zafrul memberi jaminan bahawa pengeluaran dana caruman yang bertujuan membantu pencarum terjejas akibat COVID-19 tidak akan memberikan impak ke atas dividen atau pulangan.

 

“Kadar dividen amat bergantung kepada keadaan pasaran seperti kemeruapan yang tinggi akan menyebabkan risiko pelaburan yang tinggi. Perkara ini akan diimbangi dengan Strategic Asset Allocation (SAA) yang akan menentukan apakah pendedahan yang sesuai bagi satu-satu aset untuk mencapai pulangan yang optimum. 

 

“Maksudnya pulangan pelaburan yang telah mengambil kira faktor risiko. Sebagai sebuah dana pencen yang mementingkan kestabilan pulangan jangka panjang, melabur dengan keadaan yang jelas tahap risikonya adalah penting. 

 

“Sudah tentu kita tidak mahu KWSP memberikan pulangan yang tinggi dengan mengambil risiko yang tinggi seperti melabur 100% dalam pasaran ekuiti. Ini boleh menjadikan KWSP begitu terdedah kepada risiko turun naik harga saham,” tambah beliau lanjut. - DagangNews.com