Laluan bawah tanah, jadikan kos MRT3 lebih 'mahal' | DagangNews Skip to main content

Laluan bawah tanah, jadikan kos MRT3 lebih 'mahal'

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 


KUALA LUMPUR 14 April - Perkembangan projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) yang dibentangkan MRT Corp. semalam dijangka menawarkan banyak 'kejutan' kepada sektor pembinaan negara, menurut Kenanga Research. 

 

Firma penyelidikan itu juga positif terhadap perincian projek tersebut memandangkan kemajuan yang dicapai berkembang dengan pantas.

 

Namun, penganalisisnya, Lum Joe Shen menganggarkan keseluruhan kontrak bagi projek ini berjumlah RM32.9 bilion dengan mengambil kira pembinaan laluan bawah tanah yang lebih panjang sejauh 20 kilometer (km).

 

"Sekiranya anggaran kami terbukti tepat dengan tempoh projek dipanjangkakan selama 10 tahun, ini akan memberi kejutan sebaliknya kepada sektor ini," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd. Zarif Hashim memaklumkan daripada laluan sepanjang 50 km, sebanyak 40% adalah laluan bawah tanah dan tempoh masa pembinaan juga dipanjangkan kepada 10 tahun berbanding 7 tahun sebelum ini.

 

Berdasarkan analisis Kenanga Research, laluan bawah tanah itu lebih tinggi berbanding anggaran awal iaitu sekitar 25 hingga 30%. Projek MRT3 sebelum ini dirancang sepanjang 40 km.

 

Melihat kepada projek MRT2 dengan jajaran sepanjang 52.2 km, kerajaan membelanjakan sebanyak RM30.53 bilion (terdiri daripada 13.5 km laluan bawah tanah dengan kos RM13.11 bilion dan 38.7 km laluan atas tanah berjumlah RM17.42 bilion. 

 

Bagaimanapun, dengan membandingkan kos dan jajaran MRT2 berbanding MRT3, keseluruhan kos MRT3 boleh mencecah sehingga RM32.9 bilion, lebih tinggi daripada jangkaan penganalisis antara RM21 hingga RM23 bilion.

 

Ia mengambil kira laluan bawah tanah sepanjang 20 km akan menelan kos sebanyak RM19.42 bilion manakala 30 km bagi laluan atas tanah pula berjumlah RM13.5 bilion. 

 

Mohd Zarif semalam berkata, kos projek ini tidak terlalu jauh dengan anggaran yang dikemukakan oleh penganalisis sebelum ini dengan anggaran antara RM20 bilion hingga RM30 bilion.

 

Secara keseluruhanya, projek MRT3 ini akan mempunyai 30 stesen dan 10 stesen tukar ganti (interchange). 

 

MRT Corp menjangkakan tawaran tender bagi projek ini akan mula dibuka untuk bidaan bermula Ogos ini dan telah mengemukakan permintaan untuk maklumat (RFI) kepada peserta industri bagi membolehkan mereka bersedia memandangkan proses tender kali ini adalah berbeza berbanding sebelum ini.

 

Malah, agensi itu turut merancang untuk meraih dana di antara 10 hingga 30% menerusi pembiayaan swasta sebagai sebahagian kaedah untuk membiayai projek itu, manakala dana selebihnya adalah daripada kerajaan.

 

Bagaimanapun, menurut Joe Shen, tender kontrak itu akan dikeluarkan paling awal pada separuh pertama 2022 selepas membuat proses pertimbangan dan penilaian tender.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'overweight' ke atas sektor tersebut.

 

"Gamuda akan meraih manfaat paling besar apabila laluan bawah tanah lebih panjang dan peranannya sebagai peneraju projek diikuti Kimlun, IJM dan MRCB," katanya. - DagangNews.com