'Langkawit' Kartunis Dusun Popular Dari Sabah | DagangNews Skip to main content

'Langkawit' Kartunis Dusun Popular Dari Sabah

Kartunis Langkawit bersama anaknya, Vietty David
Oleh DOMINIC G. JOSEPH 

PENAMPANG 23 Feb – Nama `Langkawit’ di Sabah tiada kena mengena dengan Langkawi di Kedah. Sebaliknya ia adalah nama kartunis yang popular di Negeri Bawah Bayu ini, terutama bagi kumpulan etnik Dusun yang merupakan bahasa pengantara karya-karyanya.

 

Langkawit atau nama sebenarnya, David B. Sooning @ Suning, 56, berasal dari Kampung Kinasaraban, Kota Belud dan kini masih bekerja tetap sebagai Pembantu Tadbir Kanan di Kementerian Kesihatan Malaysia.


 

Menceritakan permulaan penglibatannya dalam bidang kartun, David berkata, peluang pekerjaan yang terhad di Kota Belud memaksanya berhijrah ke Kota Kinabalu untuk mencari pelbagai jenis pekerjaan seperti bekerja sebagai pembantu di kedai kopi, pasar raya dan sebagainya.


 

langkawit

 

"Di Kota Kinabalu, saya memerhatikan ragam orang-orang yang berjaya dan mula merasa kecewa terhadap diri sendiri kerana tidak dapat mencapai tahap kejayaan mereka.

 

''Saya mula mengarahkan kekecewaan ini dalam bentuk catatan/lakaran untuk ketenangan diri sendiri dan turut menghantar ke beberapa akhbar, mana tahu disiarkan," kata David dalam wawancara bersama DagangNews.com baru-baru ini.

 

Pada 1989, kartun David akhirnya diterbitkan di dalam akhbar Sabah Times dan ini memberikan galakan dan semangat untuk terus bergiat dalam seni lukisan kartun.

 

Karya Langkawit yang pertama 'Kalabatu' yang diterbitkan pada tahun 1993 merupakan karya pertama bersiri yang diterbitkan dalam Bahasa Dusun sepenuhnya di Sabah.


 

langkawit

 


"Selepas itu saya telah menerbitkan beberapa siri koleksi kartun dalam Bahasa Malaysia. Ada tiga koleksi utama kesemuanya iaitu Buku Kartun Bersiri Dalam Bahasa Dusun, Buku Kartun Koleksi Bahasa Dusun dan Buku Kartun Koleksi/bersiri Bahasa Malaysia," kata beliau.

 

"Kebanyakan karya saya menggambarkan suasana sosial dan politik Sabah  secara lelucon tanpa berat sebelah," ujarnya.

 

David pernah memenangi beberapa anugerah untuk karya-karyanya dan sering dijemput  oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk mengendalikan bengkel-bengkel khas dalam Bahasa KadazanDusun.

 

Paling terkini, sejak penghujung 2019 kebanyakan perniagaan di Sabah menerima tamparan yang hebat susulan impak pandemik COVID-19 dan turut menjejaskan jualan koleksi kartunnya.  


 

langkawit

 


David memutuskan untuk turun padang dan menjual sendiri buku-buku koleksi kartunnya di tamu atau pasar pagi di merata daerah.

 

‘’Pada masa yang sama, saya melawat kedai-kedai buku yang berminat untuk menjual karya-karya saya.  Sementara itu anak perempuan saya Vietty David mencuba sedaya-upaya untuk menjual buku-buku berkenaan secara dalam talian.   


 

langkawit
Kartunis Langkawit bersama anaknya, Vietty David yang membantu menjual koleksi kartun secara dalam talian



 

"Kadang-kadang ada permintaan menyediakan lukisan untuk kulit buku dan ilustrasi serta poster sama ada swasta, agensi kerajaan atau kegunaan peribadi," kata David.

 

David menggalakkan generasi muda untuk menceburi bidang perkartunan terutamanya di Sabah, memandangkan terlalu kurang penyertaan dalam bidang ini. 

 

"Saya memahami keengganan pelukis kartun berbakat di Sabah untuk serius dalam lukisan kartun di negeri ini disebabkan kesukaran pasaran serta kos penerbitan yang mahal," kata David. 

 

Walaubagaimanapun, beliau berharap untuk terus berusaha menghasilkan lukisan dengan idea-idea berkualiti dan original, agar dapat diterima oleh pembaca dan peminat. 


 

langkawit

 


Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai karya Langkawit menerusi Youtube saya di Langkawit Channel, Facebook/langkawit kalabatu atau 'Google' kartun langkawit. DagangNews.com

 

 

BACA JUGA : Rakyat Malaysia disaran melancong di dalam negeri, bantu pulihkan ekonomi