Lanjutan pengecualian cukai jualan berita baik industri automotif - MIDF | DagangNews Skip to main content

Lanjutan pengecualian cukai jualan berita baik industri automotif - MIDF

Mazda

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 1 Jun - Langkah kerajaan melanjutkan tempoh pengecualian cukai jualan hingga 31 Disember 2021 merupakan berita baik kepada industri automotif.

 

MIDF Research berkata, keputusan tersebut sangat signifikan bagi industri berkenaan kerana memberi kesan positif dalam jumlah keseluruhan industri (TIV) sejak pengecualian cukai dilaksanakan pada Jun tahun lalu.

 

"Perbincangan mengenai kesan PKP 4.0 semalam menunjukkan tempoh pengecualian cukai pada separuh pertama 2021 mempengaruhi masalah pengeluaran bahagian dan kekurangan cip, sementara penghantaran pada Jun akan turut terkesan memandangkan pelaksanaan 'lockdown' sepenuhnya bermula 1 Jun 2021 yang hanya membenarkan pembuatan kenderaan dan komponen beroperasi pada kadar 10%.

 

"Oleh kerana pemain industri masih mempunyai tunggakan pesanan hingga empat bulan untuk penghantaran, lanjutan pengecualian cukai memberi ruang tambahan untuk menampung penghantaran berkenaan selain meningkatkan tempahan selepas tempoh 'lockdown'," jelas MIDF Research.

 

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui inisiatif Pemerkasa Plus bersetuju melanjutkan pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang CKD dan CBU import yang sebelum ini diumumkan di bawah inisiatif Penjana mulai 1 Julai 2021 hingga 31 Disember 2021.

 

Dalam aspek jualan industri, industri automotif pada April 2021 mencatatkan TIV sebanyak 57,912 unit, 11% lebih lemah berbanding Mac 2021.

 

Dari tahun ke tahun pula, TIV mencatatkan jumlah 199,556 iaitu dengan peningkatan 89%.

 

Situasi berkenaan sekali gus merangsang pihak MIDF untuk meningkatkan sasaran TIV pada 2021 sebanyak 550,000 iaitu dengan pertambahan 4% tahun ke tahun.

 

Sementara itu, MIDF Research memberitahu, keputusan pada suku pertama 2021 bagi industri automotif juga dilihat sangat positif susulan pencapaian pemain industri di bawah seliaannya mencatatkan pertumbuhan yang kukuh.

 

"UMW Holdings dan MBM Resources masing-masing melaporkan peningkatan pendapatan sebanyak 79% dan 73% tahun ke tahun pada suku pertama 2021.

 

"Sementara itu, Tan Chong memasuki tempoh lima suku berturut-turut mengalami kerugian.

 

"Kami pula menjangkakan Bermaz akan melaporkan keputusan yang kukuh pada suku keempat tahun kewangan 2021 yang akan datang memandangkan kenaikan TIV Mazda sebanyak 117% dalam tempoh berkenaan," tambah MIDF Research. 

 

MIDF Research mengambil pendekatan mengekalkan saranan positif terhadap sektor automotif. - DagangNews.com