Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 29 Jun - Lanjutan tempoh fasa pertama perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh atau 'lockdown' dijangka tidak memberi impak yang teruk.
Kenanga Research berkata, meskipun landskap perniagaan semasa akan terganggu, situasi berkenaan dijangka akan diimbangi oleh perniagaan secara dalam talian.
"Ramalan semasa kami bahawa PKP penuh akan dilanjutkan hingga pertengahan Julai atau enam minggu berturut-turut sejak dijalankan pada 1 Jun dengan anggaran kerugian ekonomi adalah sebanyak RM1.0 bilion hingga RM1.5 bilion sehari.
"Permintaan domestik khususnya segmen runcit akan terus tertekan kerana aktiviti pengguna akan terhad akibat sekatan pergerakan yang dilanjutkan serta penutupan perniagaan yang tidak penting (non-essential).
"Walaupun begitu, kami yakin ia tidak akan memberi kesan yang teruk memandangkan peralihan kepada penggunaan platform penjualan secara dalam talian adalah lebih tinggi," jelas Kenanga Research.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini memberitahu, fasa pertama kawalan pergerakan di bawah PPN yang dijadual berakhir 28 Jun tidak akan ditamatkan, malah diteruskan mungkin hingga pertengahan Julai nanti.
Fasa pertama itu terus dilanjutkan kerana jumlah kes COVID-19 di negara ini belum mencapai nilai ambang di bawah 4,000 kes seperti yang ditetapkan sebelum beralih ke fasa seterusnya.
Mengulas perkara sama, Kenanga Research memberitahu, sektor pembuatan khususnya yang berkonsepkan eksport akan terus memacu pertumbuhan ekonomi.
Hal ini kerana kebanyakan sub-sektor utamanya seperti E&E dan sarung tangan getah dibenarkan beroperasi walaupun dalam kapasiti yang terhad. - DagangNews.com