Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 7 Ogos - Kadar lawatan pesakit dan penghuni di seluruh hospital KPJ Healthcare Bhd. (KPJ Healthcare) di negara ini dijangka menurun dengan ketara pada suku kedua 2020 ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.
Menurut CGS-CIMB Research (CGS-CIMB), jangkaan penurunan itu dibuat berdasarkan penangguhan rawatan penyakit bukan kronik serta kekurangan jumlah pesakit yang hadir ke hospital untuk mengelak daripada jangkitan wabak COVID-19.
"Kami menggangarkan kadar lawatan pesakit di KPJ Healthcare boleh menurun rendah daripada 30% hingga 40% berbanding kadar biasa iaitu 60% hingga 70%.
"Selain itu, pada Mac 2020, pendapatan menurun sebanyak 13% berbanding purata pendapatan bulanan yang dicatatkan pada Januari hingga Februari tahun yang sama," jelas CGS-CIMB.
CGS-CIMB turut menjangkakan penurunan tersebut dapat dipulihkan secara beransur-ansur berdasarkan permintaan yang direkodkan.
"Berdasarkan pemerhatian, kadar lawatan pesakit akan pulih sebanyak 50% hingga 60% menjelang separuh tahun kedua 2020," jelas CGS-CIMB lagi.
KPJ Healthcare baru-baru ini mengumumkan penjualan sahamnya sebanyak 80% dalam PT Khidmat Perawatan Jasa Medika (KPJM) selaku pengendali kepada hospital pakar RS Medika Permata Hijau (RSMPH) di Jakarta Barat, Indonesia.
Penjualan saham itu merupakan sebahagian daripada langkah penstrukturan semula operasi hospital KPJ di Jakarta.
Namun, dalam nota kajian yang sama oleh CGS-CIMB, KPJ Healthcare berjaya mencatatkan peningkatan jumlah lawatan pesakit selepas suku kedua 2020 iaitu sebanyak 45% pada awal bulan Julai berbanding 31% pada pertengahan Mei tahun ini.
Menurut Presiden dan Pengarah Urusannya, Ahmad Shahizam Mohd. Shariff dalam CGS-CIMB Research (CGS-CIMB) berkata, peningkatan tersebut juga adalah lebih tinggi berbanding peratusan terendah yang dicapai pada April 2020 iaitu 27%. - DagangNews.com