Lazada terbitkan laporan impak ESG pertama untuk bina perniagaan mampan | DagangNews Skip to main content

Lazada terbitkan laporan impak ESG pertama untuk bina perniagaan mampan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 3 Nov - Lazada telah mengeluarkan Laporan Impak Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) ‘Membentuk Masa Depan Ekonomi Digital’ bagi tahun 2022 bagi memperincikan usaha dalam memanfaatkan e-dagang bagi membangunkan komuniti, amalan perniagaan yang bertanggungjawab dan mampan, serta menguruskan impak terhadap alam sekitar.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Group, James Dong berkata, sempena sambutan ulang tahun ke-10 Lazada tahun ini, pihaknya turut menyambut 10 tahun kewujudan perdagangan digital di Asia Tenggara. 

 

"Ia juga merupakan masa yang tepat untuk mengeluarkan laporan impak ESG yang pertama dan saya berbesar hati untuk berkongsi perkembangan kami dalam memacu pertumbuhan perdagangan digital di rantau ini, di samping mencetuskan perbezaan menerusi operasi e-dagang.

 

"Laporan ini merupakan permulaan perjalanan kemampanan kami. Ia menggariskan usaha ke arah kolaborasi yang lebih mantap bersama rakan kongsi dan pihak berkepentingan bagi memanfaatkan kedudukan kami sebagai platform e-dagang yang membentuk masa depan ekosistem digital yang mampan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Laporan tersebut memaparkan rangka kerja ESG dan empat tonggak teras iaitu; Memperkasakan Komuniti, Tenaga Kerja Sedia-Masa Depan, Pengawasan yang Bertanggungjawab dan Tadbir Urusan yang Efektif.

 

Ketua Pegawai Kewangan Lazada Group, Frank Luo pula berkata, kemajuan yang berjaya dicapai dalam beberapa tahun yang lalu telah menentukan asas untuk kejayaan dan momentum yang berterusan, lantas merangsang usaha ke arah menambahbaik  impak ESG.

 

"Sebagai platform perdagangan digital perintis Asia Tenggara, kami amat komited untuk mengupayakan ekosistem yang mampan  serta berdaya saing yang mampu menghubungkan pelanggan dan para penjual. 

 

"Pendekatan kami adalah untuk menerapkan ‘minda ekosistem' dengan meningkatkan kolaborasi dengan rakan kongsi dan pihak berkepentingan di seluruh rantaian nilai untuk mewujudkan impak yang positif," katanya.

 

Baru-baru ini, Lazada Logistics di Indonesia turut diberi penghormatan sebagai pemenang kategori ‘Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab (Plastik)’ menerusi B20 Sustainability 4.0 Awards, sebuah projek usahasama Eropah-Indonesia dan acara sampingan B20 Indonesia 2022. 

 

Anugerah yang berprestij ini meraikan perniagaan dan individu yang menerapkan amalan yang mampan serta lestari dalam strategi dan proses mereka dengan merangkumi persekitaran serta  komuniti dalam agenda mereka. - DagangNews.com