KUALA LUMPUR 22 Sept. - Data rasmi negara menunjukkan seramai 15,666 rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan di Singapura antara Januari hingga Julai 2020.
Jumlah tersebut dicatatkan susulan penularan wabak COVID-19 yang melanda pasaran buruh.
Menteri Sumbar Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, majoriti rakyat Malaysia yang terlibat adalah dalam kalangan pekerja sektor perkhidmatan.
"Statistik dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura menunjukkan bahawa pekerja Malaysia dalam sektor perkhidmatan adalah paling teruk terjejas hingga mempengaruhi 11,123 orang.
"Jumlah tersebut diikuti dengan sektor pembuatan dengan jumlah 3,604 pekerja dan sektor pembinaan seramai 939 pekerja," jelasnya di Dewan Negara seperti dipetik The Malaysia Reserve, semalam.
Jawapan tersebut diberikan berdasarkan soalan Senator Liew Chin Tong yang ingin mengetahui data rakyat Malaysia yang telah kehilangan pekerjaan akibat daripada wabak COVID-19.
Tambah Saravanan, jumlah yang dinyatakan tersebut adalah tidak termasuk dengan pekerja yang belum kembali ke Singapura sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.
Bermula tarikah berkenaan, Malaysia dan Singapura menutup sempadan perjalanan bagi membendung penularan wabak antara dua negara berkenaan.
Bagaimanapun, kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Kesihatan baru-baru ini memaklumkan pihaknya sedang berusaha membuka semula sempadan Malaysia-Singapura bagi mengurangkan tekanan mereka yang terjejas akibat penutupan sempadan tersebut.
Langkah tersebut adalah termasuk bagi tujuan perniagaan penting dan urusan rasmi - DagangNews.com