Lebih 30% koperasi terjejas kewangan akibat COVID-19 - ANGKASA | DagangNews Skip to main content

Lebih 30% koperasi terjejas kewangan akibat COVID-19 - ANGKASA

Abdul Fattah Abdullah
Abdul Fattah Abdullah

 

KUALA LUMPUR 27 Julai - Kehadiran wabak COVID-19 turut memberi ancaman kepada aliran kewangan koperasi di negara ini.

 

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, majoriti koperasi yang terjejas itu adalah yang terlibat dalam sektor pelancongan, perhotelan dan perkhidmatan.

 

Menilai kepada impak tersebut, beliau menyarankan agar kerajaan menghulurkan bantuan melalui pelbagai saluran peruntukan yang ada.

 

Menurutnya, antara saluran yang boleh digunakan ialah peruntukan RM230 juta bagi pelaksanaan produk baharu di bawah Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

 

"Saya amat berharap, syarat koperasi untuk mendapatkan modal daripada Tabung Modal Pusingan ini dilonggarkan, jika guna syarat lama iaitu berdasarkan prestasi, tentu susah dalam situasi sekarang," katanya seperti dilapor Bernama.

 

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan 300 set peralatan perlindungan diri (PPE) dan cecair pembasmi kuman kepada Hospital Jengka, Maran hari ini.

 

Tambahnya, pihak ANGKASA bersedia meningkatkan bilangan sukarelawan koperasi yang boleh ditempatkan di hospital seluruh negara bagi meringankan bebanan petugas barisan hadapan.

 

Mengulas lanjut, beliau berharap agar kerajaan memberi pengecualian persidangan mesyuarat agung tahun ini kepada kira-kira 8,000 koperasi di seluruh negara.

 

Harapan itu dibuat setelah menilai kepada situasi pandemik COVID-19 masih belum reda.

 

Mesyuarat berkenaan dijadualkan berlangsung antara 17 Ogos hingga 15 November 2021. - DagangNews.com