Lebih 640,000 permohonan bayaran balik diterima - BNM | DagangNews Skip to main content

Lebih 640,000 permohonan bayaran balik diterima - BNM


KUALA LUMPUR 20 Okt. - Bank Negara Malaysia (BNM) memberi keyakinan kepada peminjam bahawa bantuan bayaran balik pinjaman akan terus tersedia untuk peminjam yang pendapatan mereka terjejas akibat pandemik ini. 

Jelas bank pusat itu, bergantung pada keadaan mereka, peminjam yang menghadapi kesukaran pada amnya telah memohon agar bayaran balik ansuran bulanan dikurangkan atau moratorium dilanjutkan. 

Bagaimanapun, peminjam yang tidak memerlukan bantuan pada masa ini masih boleh memohon bantuan bayaran balik pinjaman secara bersasar sepanjang 2020 hingga 2021 jika keadaan kewangan mereka berubah pada masa hadapan.

"Skala bantuan bayaran balik pinjaman secara bersasar seperti ini tidak pernah dilaksanakan sebelum ini dalam sejarah perbankan di Malaysia. 

"Bantuan terus ditawarkan kepada peminjam dalam pelbagai kumpulan pendapatan dengan pertimbangan khusus diberikan kepada isi rumah dalam kategori B40, perniagaan mikro serta peminjam yang terjejas akibat sekatan pergerakan," katanya dalam kenyataan. 

Menurut BNM, lebih daripada 640,000 permohonan untuk bantuan bayaran balik pinjaman telah diterima, dengan kadar kelulusan kira-kira 98%. 

Daripada jumlah itu, sebanyak 40% diberikan lanjutan moratorium dengan peminjam terdiri daripada individu yang baru sahaja kehilangan pekerjaan serta perniagaan dalam sektor yang masih mengalami kekangan operasi yang nyata akibat pandemik.

"Lagi 60% pula menerima pengurangan bayaran ansuran. Peminjam yang memohon pengurangan bayaran ansuran termasuk mereka yang berada dalam kumpulan B40. 

"Pengurangan bayaran ansuran ini membolehkan peminjam mula membayar balik pinjaman mereka pada jumlah bayaran yang selesa," jelasnya. 

Jelas BNM, dalam kalangan individu yang memohon bantuan bayaran balik pinjaman sehingga kini, kira-kira 50% mempunyai pendapatan bulanan sebanyak RM5,000 atau kurang. 

Sementara itu, katanya, 28% adalah daripada mereka yang mempunyai pendapatan bulanan antara RM5,000 hingga RM10,000. 

"Peminjam dalam segmen lain yang memerlukan bantuan juga tidak dipinggirkan, antaranya mereka yang mempunyai pendapatan tidak tetap dan mereka yang bekerja dalam sektor paling terjejas seperti pelancongan," katanya. 

BNM juga memberi jaminan mana-mana permohonan bantuan bayaran balik pinjaman yang dibuat pada bila-bila masa sebelum 30 Jun 2021 tidak akan dipaparkan dalam laporan CCRIS peminjam.

Malah, tiada sebarang caj pemprosesan bagi permohonan bayaran balik pinjaman untuk peminjam individu dan PKS.

"Sehubungan itu, BNM menggesa peminjam yang terjejas supaya memohon bantuan bayaran balik pinjaman daripada bank masing-masing melalui pelbagai saluran yang disediakan.

"Pihak bank dikehendaki memaklumkan kepada peminjam mengenai keputusan permohonan mereka dalam tempoh 5 hari bagi peminjam individu dan dalam tempoh 14 hari bagi peminjam PKS," katanya. - DagangNews.com