Lebih 66,000 lafaz cerai sepanjang pandemik | DagangNews Skip to main content

Lebih 66,000 lafaz cerai sepanjang pandemik

Oleh MOHD FUDZAIL MOHD NOR
Kolumnis DagangNews.com

 

 

MALAYSIA merekodkan sebanyak 66,440 kes cerai membabitkan pasangan beragama Islam didaftarkan sepanjang tempoh pandemik COVID-19 bermula Mac 2020 hingga Ogos 2021.

 

Rekod jumlah tertinggi iaitu Selangor 12,479 kes, diikuti Johor (7,558), Kedah (5,985), Kelantan (5,982), Perak (5,921) dan 5,098 di Terengganu.

 

Pahang pula sebanyak 5,058 kes, Sabah (4,010), Pulau Pinang (2,978), Wilayah Persekutuan (3,854), Negeri Sembilan (3,473), Melaka (2,402), Perlis (1,081) dan 561 di Sarawak.

 

Boleh dikatakan sebanyak 121 permohonan cerai pasangan Islam difailkan sehari. Satu jumlah yang besar... begitulah konteks dan suasananya.

 

Cetek pengetahuan berkaitan ilmu rumah tangga merupakan penyebab utama peningkatan kes perceraian pasangan Islam.

 

Situasi merisaukan dan ekoran itu banyak sistem sokongan diberikan kerajaan di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri.

 

Banyak kementerian telah melakukan usaha memberikan sokongan mental kepada pasangan berkenaan dan berharap dapat meneruskan kehidupan berkeluarga dan menyelesaikan masalah terutama dalam tempoh pandemik.

 

Sementara itu Terengganu mencatat 2,433 kes cerai sejak Januari hingga Oktober 2021. Manakala sebanyak 4,132 kes perceraian dicatatkan pada 2020 di Terengganu.

 

Sebanyak 6,565 kes perceraian direkodkan di Terengganu pada 2020 sehingga Oktober 2021.

 

Sebanyak 4,132 kes perceraian dicatatkan pada 2020 manakala sehingga Oktober 2021 sebanyak 2,433 kes direkodkan.

 

 

fudzail

 

 

Kes perceraian yang tertinggi direkodkan di Kuala Terengganu iaitu sebanyak 1,923 pasangan, yang kedua tertinggi di Kemaman (1,151 pasangan) dan ketiga tertinggi di daerah Dungun melibatkan 1,003 pasangan.

 

Kategori umur yang terbabit dalam perceraian adalah dalam lingkungan 21 hingga 65 tahun. Selain kurangnya penghayatan agama Islam dan tiada lagi persefahaman, masalah kewangan dan pengaruh media sosial merupakan antara faktor mendorong kepada perceraian.

 

Umur paling muda dalam perceraian yang direkodkan di negeri ini ialah 17 tahun sementara usia paling tua pula 75 tahun.

 

ALASAN BERCERAI

Ada tersalah beli ikan selayang, campur tangan keluarga dan kurangnya memahami erti sebenar perkahwinan dikesan antara punca perceraian yang berlaku.

 

Situasi ini  memperlihatkan ada kalangan pasangan Islam di negeri ini yang kurang pengetahuan dan jahil mengenai ilmu perkahwinan hingga hal sebegitu remeh boleh menjadi punca perceraian.

 

Kebanyakan kes perceraian membabitkan pasangan yang berkahwin dalam tempoh kurang lima tahun berusia antara 26 hingga 30 tahun.

 

Ada punca berlakunya kes perceraian di Terengganu adalah disebabkan suami yang gila seks melampau.

 

Ada wanita memfailkan perceraian kerana tidak tahan sikap suami yang gila seks sehingga tahap mencederakan anggota sulit dan fizikal semata-mata mahu membangkitkan syahwat.

 

 

fudzail

 

 

Ada kerana tertinggal bungkusan lengkuas yang dibeli di sebuah pasar di Dungun, seorang wanita warga emas diceraikan suaminya sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah.

 

Disebabkan terlampau marah, suami yang tidak mahu berpatah semula ke pasar untuk mengambil lengkuas berkenaan tiba-tiba melafazkan cerai semasa di atas motosikal.

 

Pelbagai lagi alasan remeh-temeh yang menjadi punca perceraian antaranya kerana isteri tidak memasak hidangan kegemaran suami.

 

Ada juga pasangan yang bercerai kerana isteri tidak memakai seluar jeans.

 

Selain alasan masakan masin dan badan berbau, campur tangan keluarga, perkahwinan jarak jauh dan masalah sosial antara pasangan sehingga ada pihak ketiga turut menyumbang kepada statistik.

 

GILA TALAK

Rata-rata suami menyesal dengan tindakan itu. Suami segera tampil ke mahkamah syariah bagi mengesahkan perceraian sebelum kembali rujuk dengan pasangan.

 

Situasi perceraian dengan alasan remeh-temeh dan tidak munasabah itu lazim serta sentiasa berlaku dalam masyarakat sejak dahulu zaman berzaman.

 

Kalangan suami agar banyak bersabar dan tidak menggunakan lafaz talak sesuka hati. Kalau menghadapi masalah dengan pasangan sebab kesan buruknya terhadap institusi rumah tangga yang dibina.

 

Jangan begitu mudah melafazkan perkataan cerai. Malah suami perlu melihat  pertimbangan lain dalam menyelesaikan masalah.

 

Kaedah mendidik, mengajar, bergurau dengan isteri bukan melalui ugutan lafaz talak. Banyak lagi pendekatan lain yang disaran Rasulullah.

 

Paling mustahak semua pasangan perlu bertolak-ansur, tidak ego dan tidak angkuh demi menyelamatkan sesebuah perkahwinan yang didirikan.

 

Pasangan baru 6 bulan kahwin merupakan paling tinggi rekod cerai setakat ini. Pasangan yang sudah 30 hingga 40 tahun bersama, malah ada daripada mereka yang sudah mempunyai cucu dan cicit juga turut direkodkan memohon perceraian.

 

Sebagaimana perkahwinan tidak mengenal usia, begitu dengan perceraian yang tidak mengenal usia juga.

 

 

fudzail

 

 

Tiada lagi persefahaman

Mengikut data yang diambil daripada fail-fail majoriti memohon perceraian sebab tiada kesefahaman. Namun, lazimnya pihak terlibat tidak mahu mendedahkan alasan sebenar untuk bercerai.

 

Sebab melibatkan sensitiviti apabila melibatkan hal dalaman rumah tangga. Kebanyakannya bersetuju untuk bercerai secara baik dengan soal kenapa hendak bercerai tidak dijelaskan secara terperinci dan dilupakan.

 

Berbeza dengan perceraian dengan tuntutan fasakh yang melibatkan pembuktian dan keterangan. Ini memerlukan alasan yang kukuh untuk membubarkan perkahwinan.

 

Mengikut statistik permohonan perceraian sepanjang tempoh tahun lalu merekodkan penurunan.

 

Kerajaan negeri sedang merangka pelbagai inisiatif bagi mengurangkan kes perceraian termasuk menambah baik modul kursus praperkahwinan yang akan bermula tahun hadapan.

 

Kerajaan akan terus berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik dalam mengatasi masalah perceraian  termasuk memperkemaskan modul keluarga Islam untuk diterapkan kepada masyarakat.

 

Antara usaha ialah menawarkan peluang berbulan madu kali kedua kepada pasangan yang bermasalah. Peluang berbulan madu itu dianjurkan dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK).

 

Semua merasakan bahawa mereka masih ada peluang untuk hidup bersama.

 

 

fudzail

 

 

Honeymoon

Usaha YPK buat honeymoon (bulan madu) kali kedua, hasilnya sebahagian besarnya meneruskan perkahwinan namun sebahagian kecilnya bercerai.

 

Menilai situasi itu penurunan ini berkemungkinan disebabkan pandemik COVID-19 yang melanda negara ini. Ia termasuk pengoperasian pejabat yang dihentikan semasa Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 dalam tempoh PKP.

 

Tempoh pandemik sedikit sebanyak menyekat pergerakan orang awam untuk berurusan di kaunter setempat untuk tujuan pendaftaran sekali gus memberi kesan kepada statistik.

 

Kalau tidak semakin ramai bercerai di sebuah negeri Malayu Islam yang nampaknya lebih ramai kurang faham erti perkahwinan.

 

Saya bersedih dengan situasi ini dan bertanya, mana silapnya?   - DagangNews.com