Lebih 700 anggota ATM terjejas banjir di Selangor, Pahang terima bantuan Kerajaan UAE | DagangNews Skip to main content

Lebih 700 anggota ATM terjejas banjir di Selangor, Pahang terima bantuan Kerajaan UAE

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang (dua dari kanan) bersama Duta UAE ke Malaysia, Khalid Ghanim Mohammad Al-Ghaith (dua dari kiri) pada Majlis Penyampaian Bantuan Mangsa Banjir Daripada Kerajaan UAE kepada Angakatan Tentera Malaysia (ATM) di Wisma Perwira hari ini. - Gambar - BERNAMA 
 

 

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Dis - Lebih 700 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terjejas akibat banjir di Selangor dan Pahang menerima sumbangan makanan serta keperluan asas daripada Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

 

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, sumbangan berkenaan disampaikan Duta UAE ke Malaysia, Khalid Ghanim Mohammad Al-Ghaith. 

 

Beliau berkata, sumbangan itu terdiri daripada sejadah, Al-Quran, telekung, barangan memasak, kit pembersihan, tilam, tuala, selimut dan bantal yang dapat membantu meringankan beban mangsa banjir.
 

 

"Sumbangan ini akan diagihkan bermula hujung minggu ini kepada lebih 700 keluarga anggota ATM yang terjejas terutamanya di Selangor dan Pahang seperti Shah Alam, Klang, Temerloh, Mentakab dan Bentong.
 

 

"ATM berterima kasih dengan keprihatinan dan bantuan Kerajaan UAE dalam membantu mereka yang terkesan dengan bencana banjir terutamanya warga tentera dan keluarga mereka," katanya selepas majlis penyampaian bantuan mangsa banjir daripada Kerajaan UAE kepada ATM di Wisma Perwira di sini hari ini, lapor Bernama.
 

 

Turut hadir Pengerusi Jemaah Tertinggi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Tengku Muhaini Sultan Ahmad Shah. 

 

Affendi berkata sumbangan tersebut akan diatur gerak oleh ATM dan BAKAT yang menjaga hal ehwal keluarga anggota tentera serta akan diperluaskan kepada masyarakat umum bagi menyahut seruan kerajaan menjayakan konsep Keluarga Malaysia. - DagangNews.com