Lebih 80% rakyat berpuas hati dengan pakej Prihatin | DagangNews Skip to main content

Lebih 80% rakyat berpuas hati dengan pakej Prihatin


Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 14 Okt. - Lebih 80% responden dalam kalangan rakyat Malaysia berpuas hati dengan pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Rakyat (Prihatin). 

Daripada jumlah itu, 55% menyatakan tahap kepuasan yang tinggi dan 29% tahap kepuasan yang biasa.

“Bagi bantuan secara bersekali sahaja atau one-off, antara bantuan yang menerima markah kepuasan tertinggi ialah Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan MySalam (66%). Pelaksanaan elaun pemandu teksi mendapat tahap kepuasan pada kadar 57%.

“Bagi bantuan yang dilaksanakan antara tiga hingga enam bulan pula, kepuasan tertinggi adalah untuk Program Pengekalan Pekerja (70%), diikuti moratorium Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) (69%) dan elaun untuk barisan hadapan (69%), dan moratorium pinjaman bank automatik serta diskaun elektrik (kedua-duanya 67%). 

“Pelaksanaan pemberian internet percuma 1GB pada tahap kepuasan 65%,” kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Kaji selidik itu dijalankan ke atas 11,000 responden pada 19 Ogos hingga 22 September 2020 oleh Unit LAKSANA bagi mendapatkan maklum balas orang ramai mengenai impak pelaksanaan pakej Prihatin. 

Ini termasuk sesi turun padang ke lebih 10 lokasi seluruh negara termasuk Kuala Lumpur, Cyberjaya, Melaka dan Kuala Terengganu.

Dalam pada itu, bagi bantuan bersifat jangka masa panjang, Skim Persaraan Swasta dan pengurangan caruman Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) mendapat tahap kepuasan tertinggi (69%), menakala pengecualian tapak sewa dan sewa Projek Peumahan Awam mendapat tahap kepuasan rendah pada kadar 60%.

“Hasil dapatan kaji selidik Prihatin akan digunakan oleh kerajaan dalam merangka langkah-langkah yang komprehensif dan menyeluruh di bawah Belanjawan 2021,” tambah Tengku Zafrul. - DagangNews.com