Lebih 90% usahawan gulung tikar jika PKP berterusan | DagangNews Skip to main content

Lebih 90% usahawan gulung tikar jika PKP berterusan

Wan Junaidi Tuanku Jaafar

Wan Junaidi Tuanku Jaafar 

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 4 Jun - Lebih 90% usahawan mikro, kecil, sederhana dan informal berdepan risiko penutupan perniagaan sekiranya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan secara berterusan. 

 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, maklumat membimbangkan itu diperoleh hasil daripada penemuan kali selidik pihaknya mengenai impak COVID-19 serta penguatkuasaan PKP kepada golongan usahawan.

 

"Majoriti Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta usahawan informal daripada pelbagai sektor ekonomi merasa gusar dengan kelangsungan operasi perniagaan mereka.

 

"Manakala, 54% terutamanya perusahaan mikro menyatakan hanya mampu bertahan di antara tiga hingga enam bulan sahaja. 

 

"Keadaan ini dikhuatiri akan menyumbang kehilangan pekerjaan kepada lebih 3 juta penduduk di Malaysia," jelas beliau dalam satu sidang media secara maya hari ini.

 

PMKS yang berjumlah lebih 1.15 juta pada tahun 2020 memberi sumbangan yang amat signifikan dalam pembangunan sosio-ekonomi negara.

 

Perusahaan tersebut menyumbang kepada hampir separuh daripada guna tenaga negara iaitu sebanyak 7.3 juta orang.

 

Tambah beliau, perusahaan mikro dan informal adalah paling teruk terjejas kerana produk dan perkhidmatan mereka termasuk dalam sektor non-essential selain tidak mempunyai simpanan dan aliran tunai yang kukuh.

 

Meskipun nilai sumbangan ekonomi yang diberikan golongan berkenaan agak kecil, beliau berkata, bilangan usahawan mikro dan informal adalah antara yang terbesar di negara ini.

 

"Adalah penting untuk memastikan jenis bantuan yang bersesuaian diberi bagi membantu usahawan mikro serta informal, dan inisiatif PEMERKASA+ yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini dijangka mampu menyokong daya tahan golongan ini sepanjang tempoh lock down dilaksanakan”, tambah beliau lagi.

 

Kaji selidik berkenaan melibatkan seramai 3,855 responden, 58% daripadanya adalah perusahaan mikro dan selebihnya adalah perusahaan kecil, dan sederhana, koperasi dan informal.

 

Hasil kaji selidik berkenaan turut mendapati 72% usahawan menjangkakan perniagaan akan terus mengalami kerugian.

 

Dalam sidang media sama, beliau turut mengingatkan orang ramai agar terus mengamalkan norma baharu dalam kehidupan dengan mematuhi SOP seperti penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka bagi membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini. - DagangNews.com