Lebih efisien Felda ambil alih FGV - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Lebih efisien Felda ambil alih FGV - Penganalisis

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 


KUALA LUMPUR 2 Nov. - Dengan mengambil kira nilai pasaran FGV Holdings Bhd. ketika ini, penganalisis berpendapat adalah lebih kos efisien sekiranya Felda menjadikan FGV sebagai syarikat persendirian. 

Ini berdasarkan anggaran yang dibuat penganalisis CGS-CIMB, Ivy Ng, kerana nilai syarikat itu adalah lebih rendah berbanding anggaran pampasan yang akan dibayar kepada FGV susulan penamatan perjanjian pajakan tanah (LLA) yang diputuskan kerajaan minggu lalu. 

Malah, firma penyelidikan itu juga melihat terdapat kemungkinan Felda tidak meneruskan langkah menamatkan LLA sekiranya jumlah pampasan yang dibayar adalah tinggi antara RM3.5 hingga RM4.3 bilion. 

Purata harga minyak mentah sawit FGV pada 2019 adalah sekitar RM2,021 per tan metrik tetapi bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini meningkat kepada purata RM2,545 per tan metrik. 

Berdasarkan anggaran itu,FGV dijangka menerima pampasan yang minimum setelah mengambil kira keuntungan setiap hektar tanah di bawah LLA pada tahun lalu. 

Menurut Ivy, terma pampasan dalam prospektus FGV pula tidak memberi penjelasan sewajarnya penyata kewangan teraudit yang diguna pakai bagi kiraan tersebut kerana ia akan mempengaruhi kiraan jumlah pampasan.

Namun, berdasarkan tahun kewangan 2019, kemungkinan bayaran yang diterima adalah lebih rendah. 

"Adalah terlalu awal untuk mendapatkan anggaran sebenar bayaran pampasan ini. Bagaimanapun, ini mungkin wajar sekiranya FGV dijangka meraih keuntungan perladangan yang kukuh dengan harga minyak sawit tinggi pada 2020/2021.

"Dalam hal ini, kami berpendapat, adalah lebih baik mengambil FGV secara persendirian kerana kosnya lebih rendah. 

"Malah, kos untuk Felda ambil alih pegangan selebihnya yang tidak dimiliki dalam FGV (66.4%) kini hanya RM2.6 bilion berdasarkan pasaran modal semasa FGV," katanya dalam nota kajian Sabtu lalu. 

 

Analisis yang dilakukan firma penyelidikan CGS-CIMB
Analisis yang dijalankan firma penyelidikan CGS-CIMB.

 

Felda memiliki 33.66% pegangan dalam FGV manakala selebihnya dimiliki Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (8.03%), Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (5.99%) dan Kerajaan Negeri Pahang (5%). 

Pada 29 Oktober lalu, FGV menganggarkan Felda perlu melunaskan bayaran pampasan kira-kira RM3.5 hingga RM4.3 bilion berdasarkan penilaian dalaman yang akan berbeza bergantung kepada prestasi kewangan FGV bagi 2020 dan 2021 serta pelbagai faktor lain.

LLA tersebut melibatkan ladang-ladang milik Felda seluas 350,733 hektar yang dipajakkan kepada FGV selama 99 tahun bermula 1 November 2011.

Bagaimanapun, Jumaat lalu, Pengerusi Pasukan Petugas Khas Felda, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, bayaran pampasan kepada FGV adalah lebih rendah berbanding anggaran tersebut walaupun ia mengambil kira tanah LLA dan kesemua 68 kilang sawit. 

Setakat 2.48 petang, saham FGV susut 2.38% kepada RM1.030 sesaham. 

Tanpa kilang dan pengambilan semua tanah LLA, FGV akan memiliki sekurang-kurangnya 67,000 tanah ladang. 

Keseluruhan bank tanah kumpulan itu sebelum ini adalah seluas 417,147 hektar dengan 350,733 hektar adalah di bawah LLA. Selain itu, FGV memiliki 22,578 hektar tanah di Indonesia. 

Kilang sawit FGV pula memproses lebih 14 juta tan metrik tandan buah segar setiap tahun dengan dua pertiga daripada menerusi peneroka Felda dan pekebun persendirian. 

Menurut Ivy, berdasarkan penilaian bahagian (SOP) semasa, tanah ladang di bawah LLA bernilai RM2.55 bilion, yang mana ia merupakan anggaran julat nilai pampasan berdasarkan kiraan minimum tahun kewangan 2019 yang diaudit.

"Sama ada bayaran itu tinggi/rendah daripada RM2.55 bilion, kami akan menganggap ia adalah positif/negatif kepada pemegang saham FGV. 

"Sekiranya, nilai pampasan itu dalam anggaran RM3.5 hingga RM4.3 bilion, yang mana lebih tinggi berbanding anggaran kami, RM950 juta hingga RM1.75 bilion, nilai SOP adalah pada RM0.26 hingga RM0.48 sesaham. 

"Tetapi jika ia pada nilai minimum, terdapat penurunan pada RM0.70 nilai SOP," katanya. 

Jelas beliau, dalam tempoh sederhana hingga jangka masa panjang, penamatan LLA adalah negatif memandangkan FGV tidak mungkin dapat menikmati hasil penanaman semula sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Mengenai prospek FGV selepas LLA ditamatkan, beliau menjangkakan syarikat itu akan muncul sebagai pemain dalam industri hiliran minyak sawit melainkan hasrat Perspective Lane Sdn. Bhd. untuk menyuntik aset perladangan dalam FGV berjaya dimuktamadkan. 

"Namun, ini juga masih terlalu awal untuk menilai impak ke atas FGV memandangkan tiada lagi maklumat terperinci berhubung struktur urus niaga ini," katanya. - DagangNews.com