Lebih ramai dijangka beli kereta baharu Mac ini | DagangNews Skip to main content

Lebih ramai dijangka beli kereta baharu Mac ini

Pelancaran baharu seperti Perodua Ativa akan terus merangsang jualan di samping pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sehingga 30 Jun 2021. 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 24 Mac - Prospek industri automatif tahun ini semakin cerah dengan jumlah keseluruhan industri (TIV) pada Februari merekodkan jualan sebanyak 42,784 unit. 

 

Ia mencerminkan peningkatan 30% berbanding bulan sebelumnya, sebanyak 32,829 unit dan meningkat 4% berbanding 41,087 unit bagi tempoh sama tahun lalu. 

 

Jumlah pengunjung yang semakin meningkat ke bilik pameran selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) dilonggarkan di beberapa negeri, promosi menarik dan pembukaan semula kilang kenderaan menjadi antara faktor utama mendorong prestasi sektor automatif yang lebih baik pada bulan tersebut, menurut Kenanga Research. 

 

Penganalisisnya, Wan Mustaqim Wan Ab Aziz menjangkakan jualan pada Mac akan semakin meningkat disokong oleh penyambungan semula operasi Jabatan Perkhidmatan Jalan (JPJ) untuk semua jenis transaksi kenderaan. 

 

Selain itu, katanya, pelancaran model terbaharu Perodua Ativa yang setakat minggu pertama Mac, merekodkan 6,000 unit dan 100 unit dihantar kepada pembeli juga akan memacu prestasi pada Mac. 

 

"Kami mengunjurkan TIV tahun ini akan mencapai 585,000 unit, meningkat 11% tahun ke tahun, malah lebih tinggi daripada unjuran Persatuan Automatif Malaysia (MAA) sebanyak 570,000 unit. 

 

"Pelancaran baharu seperti Ativa, Proton X50, Honda City dan Nissan Almera akan terus merangsang jualan di samping pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sehingga 30 Jun 2021," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Menurutnya, separuh kedua tahun ini akan menyaksikan lebih banyak pelancaran baharu dan juga musim promosi yang lebih menarik. 

 

Secara keseluruhan, Wan Mustaqim berkata, 2021 mampu menjadi tahun yang lebih baik terutama dengan adanya insentif di bawah program Dasar Automatif Negara (NAP) 2020, pengurangan kadar dasar semalaman (OPR) dan langkah-langkah yang diambil kerajaan bagi mengurangkan impak COVID-19.

 

Firma itu juga melihat jangkaan pemulihan pertumbuhan global dan impak daripada rangsangan fiskal yang besar kepada ekonomi domestik akan membawa kepada unjuran peningkatan semula pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar sebanyak 4.5% tahun ini.

 

Sementara itu, AmInvestment Research menjangkakan momentum jumlah jualan kenderaan yang kukuh akan berterusan sepanjang separuh pertama 2021. 

 

"Kami yakin pengecualian SST akan terus mendorong minat belian terhadap kenderaan penumpang, terutamanya jenama nasional, Proton dan Perodua," katanya.

 

Firma itu juga mengunjurkan TIV pada Mac 2021 akan lebih tinggi dari segi bulan ke bulan manakala TIV keseluruhan 2021 dijangka tidak berubah sebanyak 575,000 unit. - DagangNews.com