Lokasi strategik, Malaysia diramal terus menjadi destinasi pelaburan utama pusat data - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Lokasi strategik, Malaysia diramal terus menjadi destinasi pelaburan utama pusat data - RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Sept - Malaysia diramal terus menjadi destinasi pelaburan utama pusat data (DC) didorong lokasinya yang strategik, kata RHB Investment.

 

Katanya, keadaan itu akan menyaksikan lebih banyak transaksi tanah dan DC dengan pembeli serta pelabur berkemungkinan memberi tumpuan kepada kawasan hartanah dengan pertumbuhan tinggi memandangkan keadaan ringgit serta kadar faedah yang stabil.  

 

Firma penyelidikan itu berkata, penyusutan kadar faedah memberi keuntungan kepada amanah pelaburan hartanah (REIT) dan dipercayai lebih banyak pemaju akan mempertimbangkan untuk menyenaraikan pelaburan mereka di bawah REIT.

 

Selain IOI Properties dan SP Setia, Sime Darby Property merupakan calon yang baik, memandangkan portfolio aset pelaburannya yang semakin meningkat termasuk KL East Mall, Senada Mall, Elmina Lakeside Mall, dan logistik aset di Bandar Bukit Raja.

 

"Penyiapan Google DC pada 2026 dijangka meningkatkan lagi portfolio REIT antara RM1.5 bilion hingga RM2 bilion lagi berbanding RM2.6 bilion ketika ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

RHB Investment berkata, ketika ini terdapat permintaan besar untuk pelancaran projek baharu di Nusajaya, Johor.

 

Katanya, pelancaran lot kedai oleh UEM Sunrise baru-baru ini dengan purata harga jualan (ASP) antara RM107 juta hingga RM2.3 juta dan rumah teres oleh Sunway dengan ASP RM1.22 juta atau RM550 bagi sekaki persegi menunjukkan permintaan yang menggalakkan dengan lebihan permintaan sehingga empat kali ganda semasa pra pelancaran. 

 

"Pembeli dari Singapura membentuk 20% daripada jumlah pra jualan untuk Sunway.

 

"Kami percaya trend ini akan berterusan, memandangkan minat baharu dalam pasaran hartanah Iskandar Malaysia, dengan Rapid Transit System Link (RTS) dan kemasukan FDI ke dalam zon ekonomi khas Johor Singapura (JS-SEZ) 

 

"Selain itu, taraf hidup yang tinggi di Singapura juga menjadi pemangkin utama di sebalik permintaan yang tinggi," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'overweight' untuk sektor itu dengan Sime Darby Property, Mah Sing, UEM Sunrise dan Suway menjadi pilihan utama. - DagangNews.com