Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 2 Feb. - MIDF Research menjangkakan permintaan pinjaman bank akan meningkat bagi tahun ini.
Prospek itu sekali gus mendorong pertumbuhan pemberian pinjaman yang lebih tinggi terutamanya memasuki separuh kedua tahun 2021 (2H21).
Selain pinjaman pengguna, MIDF turut meramalkan perniagaan juga akan memacu pertumbuhan pemberian pinjaman pada tahun ini untuk membiayai lonjakan aktiviti perniagaan.
“Oleh itu, kami mengunjurkan 5% pertumbuhan pemberian pinjaman pada tahun 2021 berbanding tahun lalu,” jelas firma penyelidik itu dalam nota kajiannya hari ini.
Menurut nota kajian tersebut, pertumbuhan pemberian pinjaman sistem perbankan setakat Disember 2020 terus merudum kepada 3.4% daripada 3.8% yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.
Namun, bagi MIDF, prestasi tiu lebih baik daripada yang dijangkakan di mana firma penyelidik berkenaan mengunjurkan pertumbuhan pemberian pinjaman sekitar paras 2% pada bulan tersebut.
Ini dipercayai didorong oleh pelbagai rangsangan fiskal dan monetari seperti Penjana untuk menyokong pertumbuhan pemberian pinjaman, ramal MIDF.
Disember 2020 turut menyaksikan permohonan pinjaman melonjak 12.3% seiring kadar pinjaman yang diluluskan meningkat kepada 47% berbanding 45% pada November 2020.
“Kami percaya bank-bank akan terus berhati-hati. Namun, melihatkan kadar kelulusan pinjaman yang lebih tinggi pada Disember 2020 menunjukkan sikap berhati-hati dilonggarkan sedikit.
“Kami yakin akan prospek sektor perbankan tahun depan. Ini berdasarkan pemulihan ekonomi, lebih pasti dengan adanya vaksin pada 2H21.
“Oleh itu, kami menjangkakan pendapatan organisasi bank akan meningkat pada tahun 2021. Kami mengekalkan penarafan ‘positif’ terhadap sektor ini,” tambah MIDF.
Senada MIDF, CGS-CIMB Research turut mengekalkan penarafan ‘overweight’ terhadap sektor itu berdasarkan unjuran pemulihan keuntungan bersih bank kepada 19% pada tahun ini, walaupun kadar pertumbuhan itu dijangka lebih rendah disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan peningkatan kes COVID-19.
Penganalisisnya, Winson Ng percaya keuntungan bersih bank pada 2021 akan didorong oleh penurunan peruntukan kerugian pinjaman (LLP) sebanyak 30% yang diunjurkan pada 2021 dan perubahan dalam pertumbuhan pendapatan faedah bersih (kepada kadar satu digit lebih rendah hingga pertengahan tahun 2021).
“Berdasarkan statistik perbankan pada Disember 2020, kami mendapati pertumbuhan pemberian pinjaman bagi kebanyakan bank lebih lemah pada suku keempat 2020 (4Q20) berbanding 3Q21 dan LLP dilihat meningkat berdasarkan peningkatan suku ke suku yang lebih luas dalam jumlah peruntukan sebanyak RM3.73 bilion pada 4Q20 berbanding dengan pengembangan sebanyak RM2.37 bilion pada 3Q20.
“Walau bagaimanapun, kami menjangkakan peningkatan suku ke suku dalam pendapatan faedah bersih bank 4Q20 kerana tiada pemotongan kadar dasar semalaman (OPR),” jelasnya dalam nota kajian berbeza.
Kemerosotan ekonomi yang berlarutan akan terus mencetuskan risiko kepada sektor perbankan di mana pemain industri terpaksa memperlahankan pemberian pinjaman dan meningkatkan LLP pada tahun ini.
Tambah Ng, pihaknya turut mengambil kira jumlah pemotongan 125 mata asas (bps) dalam OPR pada 2020 bagi unjuran keuntungan bersih FY21 hingga FY22 untuk bank-bank di Malaysia dan turut menjangkakan OPR tidak akan berubah.
“Oleh itu, risiko penurunan lain bagi bank adalah pemotongan OPR tambahan pada 2021.
“Berdasarkan jangkaan kami, setiap pemotongan tambahan 25 bps akan mengurangkan unjuran keuntungan bersih FY21 dengan purata 2.2%,” ujarnya lanjut. - DagangNews.com