Lebih RM30 juta elaun penjawat awam dipotong demi 'perangi' COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Lebih RM30 juta elaun penjawat awam dipotong demi 'perangi' COVID-19

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Jun - Sebagai tanda solidariti penjawat awam memerangi pandemik COVID-19, sebahagian daripada elaun mereka dengan anggaran berjumlah lebih RM30 juta bakal disalurkan kepada Akaun Amanah Bencana, selama tempoh tiga bulan.

 

Ini melibatkan Imbuhan Tetap Keraian (ITK) bagi Pengurusan Tertinggi dan Gred 44 hingga Gred 56, serta Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) bagi Gred 29 hingga Gred 41 yang dinikmati oleh penjawat awam pada masa kini, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

 

Tan Sri Mohd Zuki Ali
Mohd Zuki Ali

 

Menurut beliau, pemotongan itu akan melibatkan lebih daripada 800,000 penjawat awam yang tidak termasuk pekerja barisan hadapan serta Gred 1 hingga 28. 

 

“Surat edaran dan perincian pelaksanaan ini akan dikeluarkan dalam masa terdekat. Kita memahami penjawat awam khususnya sentiasa menjadi tulang belakang kerajaan dalam usaha mengimbangi nyawa dan kehidupan. 

 

“Sumbangan ini adalah tanda kebersamaan para penjawat awam dalam menyokong usaha kerajaan bagi memerangi dan melandaikan keluk jangkitan pandemik COVID-19 di negara kita. 

 

“Semoga pengorbanan ini menjadi asbab kebaikan dalam kehidupan bagi setiap anggota perkhidmatan awam dan ahli keluarga kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Langkah berkenaan seiring pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa setiap Menteri dan Timbalan Menteri tidak akan mengambil gaji bagi tempoh tiga bulan sebagai tanda prihatin dan menyumbang kepada usaha berkenaan.

 

Perkara itu diberitahu pada pengumuman pakej rangsangan baharu, Pemerkasa Plus malam tadi bernilai RM40 bilion sebagai tambahan kepada program-program terdahulu. 

 

Elaun

 

Di bawah pemotongan ITK, mereka yang mempunyai Gred JUSA A dan ke atas akan menyumbang 50%, JUSA B (20%), Jusa C (10%) dan Gred 44 hingga 56 (5%). 

 

Sementara itu, penjawat awam dengan Gred 29 hingga 41 akan menyumbang RM10 daripada ITKA. - DagangNews.com