Lebih RM500 juta ekuiti 'hangus'  | DagangNews Skip to main content

Lebih RM500 juta ekuiti 'hangus' 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 2 Feb. - Pelabur asing menjual sebanyak RM534.78 juta ekuiti bagi minggu berakhir 29 Januari, meningkat hampir sekali ganda daripada RM288.13 juta minggu sebelumnya. 

 

Menurut laporan aliran dana mingguan MIDF Research, pelabur asing menjual sebanyak RM199.66 juta ekuiti tempatan apabila pasaran mula dibuka pada Isnin.

 

Pelabur runcit dan institusi pula menjadi pembeli bersih dengan masing-masing membeli sebanyak RM72.69 juta dan RM126.97 juta. 

 

"Pelabur asing menjual ekuiti setiap hari kecuali pada Jumaat selepas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz menyatakan perintah kawalan pergerakan (PKP) seperti tahun lalu tidak akan dilaksanakan. 

 

"Ini menyaksikan aliran keluar ekuiti paling banyak direkodkan pada Selasa sebanyak RM298.69 juta dan paling rendah pada Khamis, sebanyak RM81.3 juta," katanya.   

 

Firma itu berkata, berbanding dengan pelabur runcit, mereka membeli ekuiti setiap hari pada minggu lalu dengan pembelian banyak banyak pada Selasa berjumlah RM286.74 juta manakala paling sedikit pada Isnin. 

 

Dalam masa sama, ia menyaksikan aliran bersih yang negatif kepada pelabur institusi walaupun lebih kecil berbanding pelabur asing. 

 

"Pembelian ekuiti direkodkan pada Isnin dan Selasa dengan jumlah aliran masuk ekuiti sebanyak RM138.92 juta," katanya. 

 

Bagaimanapun, menurut MIDF Research, aktiviti jualan ekuiti adalah lebih besar dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM195.2 juta. 

 

Aliran keluar bersih paling tinggi direkodkan pada Jumaat sebanyak RM154.75 juta, katanya. 

 

Jelas firma itu, sejak awal tahun ini, pelabur runcit merupakan pembeli bersih ekuiti tempatan berjumlah RM1.75 bilion. 

 

"Pelabur institusi dan asing masing-masing menjual ekuiti setakat ini berjumlah RM919.25 juta dan RM833.87 juta," katanya. 

 

Berdasarkan laporan itu, kesemua pasaran dalam liputan MIDF Research juga mencatatkan aliran keluar ekuiti minggu lalu. 

 

"Dari segi penyertaan pelabur pula, nilai purata dagangan harian (ADTV) pelabur runcit menurun 6.28% manakala pelabur asing dan institusi masing-masing menurun 72.79% dan 10.9%," jelas firma itu. - DagangNews.com