Lebih RM500 juta ekuiti tempatan dijual pelabur asing minggu lalu | DagangNews Skip to main content

Lebih RM500 juta ekuiti tempatan dijual pelabur asing minggu lalu

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Jualan ekuiti pelabur asing terus meningkat bagi minggu berakhir 30 Julai berjumlah RM579.73 juta, menurut laporan aliran dana mingguan MIDF Research. 

 

Ia menandakan penjualan ekuiti bagi minggu keenam berturut-turut dengan menyaksikan aliran keluar bagi minggu sebelumnya, lebih rendah sebanyak RM147.87 juta. 

 

MIDF Research berkata, apabila pasaran dibuka pada Isnin, pelabur asing melupuskan ekuiti sebanyak RM139.06 juta.

 

Sebaliknya, pelabur institusi membeli RM48.18 juta ekuiti tempatan diikuti pelabur runcit sebanyak RM90.88 juta.

 

"Pelabur asing menjual bersih ekuiti setiap hari minggu lalu dengan aliran keluar direkodkan paling banyak pada Jumaat sebanyak RM325.13 juta. 

 

"Aliran keluar ekuiti tempatan pula rekodkan paling rendah pada Jumaat berjumlah RM24.64 juta," katanya dalam laporan itu hari ini.

 

Bagi pelabur runcit pula, katanya, mereka membeli bersih ekuiti setiap hari minggu lalu dengan pembelian terbesar direkodkan pada Isnin sebanyak RM90.88 juta.

 

Pembelian ekuiti pelabur runcit paling rendah pula direkodkan pada Khamis sebanyak RM32.69 juta, tambahnya.

 

"Secara terkumpul, pelabur runcit membeli bersih sebanyak RM258.80 ekuiti tempatan di Bursa Malaysia sepanjang minggu lalu," jelas firma itu.

 

Sementara itu, pelabur institusi pula merekodkan pembelian ekuiti secara terkumpul pada kadar RM320.93 juta. 

 

Malah, pelabur institusi merupakan pembeli bersih ekuiti pada Isnin, Rabu dan Jumaat dengan paling banyak pada Jumaat sebanyak RM279.86 juta.

 

Sejak awal tahun ini, MIDF Research mendapati, pelabur runcit merupakan satu-satunya pembeli bersih ekuti tempatan berjumlah RM8.97 bilion. 

 

"Pelabur institusi dan asing pula masing-masing menjual ekuiti berjumlah RM3.43 bilion dan RM5.54 bilion setakat ini," katanya. 

 

Dari segi penyertaan pelabur dalam pasaran, nilai purata dagangan harian pelabur runcit, institusi tempatan dan asing masing-masing susut 18.95%, 24.52% dan 5.86% bagi minggu berkenaan. 

 

Sepanjang minggu lalu juga, MIDF Research mendapati, indeks utama FBM KLCI susut sehingga 1.89% untuk mengakhiri dagangan pada 1,494.60 mata. 

 

Ringgit pula sebaliknya mengukuh 0.13% berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk ditutup pada RM4.218 pada Jumaat lalu, jelasnya. - DagangNews.com