Lebuhraya WCE laksana kutipan tol di Plaza Tol Assam Jawa mulai 3 Januari 2024 | DagangNews Skip to main content

Lebuhraya WCE laksana kutipan tol di Plaza Tol Assam Jawa mulai 3 Januari 2024

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 2 Jan - Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) yang beroperasi secara percuma selama 42 hari sebelum ini akan memulakan kutipan tol di Plaza Tol Assam Jawa bermula 3 Januari 2024.

 

WCE menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, kutipan tol itu akan bermula pada pukul 12.01 tengah malam.

 

Katanya, kadar tol untuk setiap kelas kenderaan adalah berdasarkan kadar tol yang ditetapkan Lembaga Lebuhraya Malaysia.

 

"Kutipan tol Lebuhraya WCE adalah secara elektronik sepenuhnya dan kami menasihatkan pengguna untuk memastikan baki e-dompet dan kad Touch n Go mencukupi.

 

"Orang ramai perlu memastikan menggunakan lorong pembayaran yang betul. Rujuk infografik berikut atau muat turun aplikasi WCE untuk maklumat lebih lanjut," katanya.

 

Terdahulu, laluan di persimpangan bertingkat Bandar Bukit Raja Utara ke persimpangan bertingkat Assam Jawa, Lebuhraya WCE dibuka kepada pengguna sejak 21 November lepas.

 

Pengecualian tol diberikan hingga 2 Januari 2024 kepada pengguna lebuh raya yang memasuki laluan Seksyen 6 sepanjang 21.8 kilometer (km) dari Plaza Tol Bandar Bukit Raja Utara ke Plaza Tol Assam Jawa atau arah sebaliknya.

 

 

 

wce

 

 

Pembukaan laluan lebuh raya Seksyen 6 itu dijangka dapat menjimatkan masa perjalanan dari Kapar, Klang ke Assam Jawa, Ijok yang dijangka mengambil masa hanya 15 minit berbanding 45 minit sebelum ini melalui laluan sedia ada.

 

Empat seksyen pertama Lebuhraya WCE telah dibuka pada 2019, melibatkan tiga seksyen di negeri Perak iaitu Seksyen 8 (Hutan Melintang-Teluk Intan), Seksyen 9 (Lekir-Changkat Chermin) dan Seksyen 10 (Changkat Chermin-Beruas), manakala satu seksyen di Selangor iaitu Seksyen 5 (Bandar Bukit Raja Selatan-Bandar Bukit Raja Utara). - DagangNews.com