Leform dilantik sebagai subkontraktor projek pembinaan Seksyen 2 SKVE-SAE bernilai RM2.89 juta | DagangNews Skip to main content

Leform dilantik sebagai subkontraktor projek pembinaan Seksyen 2 SKVE-SAE bernilai RM2.89 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Mei - Leform Berhad menerusi anak syarikatnya, LF Engineering Sdn. Bhd. dilantik sebagai subkontraktor daripada Prebore Piling & Engineering Sdn. Bhd. bagi melaksanakan projek pembangunan Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) bernilai RM2.89 juta.

 

Subkontrak itu adalah bagi melaksanakan antara lain, pembekalan dan pemasangan pagar untuk projek berkenaan.

 

Prebore P&E adalah antara kontraktor yang dilantik untuk pembinaan Seksyen 2 SKVE melibatkan persimpangan ke Lebuhraya Shah Alam (SAE).

 

Tarikh permulaan subkontrak ialah pada 1 Julai 2023 dan dijangka siap pada 10 Oktober 2023.

 

Pengarah Urusan Leform, Law Kok Thye berkata, pihaknya percaya bahawa peluang yang diberikan itu menunjukkan keyakinan kontraktor utama terhadap kumpulan itu.

 

Katanya, pihaknya optimis untuk melaksanakan pelan pengembangan mereka termasuk pembinaan kemudahan penyimpanan gudang baharu untuk meningkatkan kawasan penyimpanan serta kecekapan operasi selain mempelbagaikan produk mereka.

 

"Memandangkan prospek positif bagi industri pembinaan, dengan sokongan kerajaan melalui pelbagai inisiatif seperti memulakan projek infrastruktur awam dan menyediakan sokongan dasar, ia dijangka membawa impak positif kepada kami dalam masa terdekat.

 

"Bersama-sama projek kami yang lain dalam perancangan, kami yakin kami berada pada kedudukan yang baik untuk meneruskan pertumbuhan," katanya.

 

Subkontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada hasil, pendapatan dan aset bersih Leform bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023. - DagangNews.com