Left. Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad dilantik sebagai Naib Canselor baharu UPNM | DagangNews Skip to main content

Left. Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad dilantik sebagai Naib Canselor baharu UPNM

Mardzuki (kiri) dan Hasagaya (kanan) bersama Syed Azman pada Majlis Serah Tugas sebagai Naib Canselor UPNM.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 28 Julai - Tampuk kepimpinan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bertukar apabila Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad mengambil alih tugas sebagai Naib Canselor universiti itu.

 

Mardzuki sebelum ini merupakan Panglima Medan Timur Tentera Darat yang berpangkalan di Kem Muara Tuang, Sarawak.

 

Pelantikan beliau sebagai Naib Canselor UPNM ini berkuat kuasa mulai 19 Jun lalu menggantikan Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah yang bersara.

 

Hasagaya telah berkhidmat sebagai Naib Canselor keenam UPNM dari 19 Disember 2020 hingga 18 Jun lalu.

 

Sebelum menerajui UPNM, Hasagaya merupakan Timbalan Panglima Tentera Darat.

 

Mardzuki, bekas Panglima Medan Timur Tentera Darat dilantik sebagai Naib Canselor ketujuh UPNM.
Mardzuki, bekas Panglima Medan Timur Tentera Darat dilantik sebagai Naib Canselor ketujuh UPNM.

​​​

Mardzuki mempunyai latar belakang pendidikan yang cemerlang, pengalaman yang luas dan kepakaran dari aspek regimental ketenteraan untuk menerajui tampuk kepimpinan UPNM. 

 

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam daripada Universiti Hartford, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Sains Sosial dalam bidang Kajian Pertahanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

 

Pengiktirafan Kementerian Pendidikan Tinggi atas kredibiliti dan kecemerlangan beliau, seterusnya telah diperkenan dan dilantik sebagai Naib Canselor UPNM.

 

Ia bagi meneraju tampuk kepimpinan tertinggi UPNM dalam memperkasa sistem pembelajaran yang komprehensif dan latihan yang berorientasikan pertahanan sebagai tunjang utama dalam pendidikan UPNM melahirkan graduan yang berkualiti.

 

Mardzuki (tiga dari kiri), Hasagaya (tiga dari kanan) dan Syed Azman (tengah) bersama pengurusan kanan universiti selepas Majlis Serah Tugas sebagai Naib Canselor UPNM.
Mardzuki (tiga dari kiri), Hasagaya (tiga dari kanan) dan Syed Azman (tengah) bersama pengurusan kanan universiti selepas Majlis Serah Tugas Naib Canselor UPNM di Kuala Lumpur.

 

Beliau mampu untuk memperkasakan sistem pembelajaran yang komprehensif dan latihan yang berorientasikan pertahanan sebagai tunjang utama dalam pendidikan UPNM bagi melahirkan graduan yang berkualiti.

 

Terdahulu, majlis serah terima tugas sebagai Naib Canselor UPNM tersebut telah diadakan antara Hasagaya dan Mardzuki di kampus universiti itu di Sungai Besi.

 

Majlis yang diadakan di Bilik Mesyuarat Senat, Bangunan Canselori telah disaksikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri (Dr) Syed Azman Syed Ibrahim, 

 

Turut hadir dalam majlis adalah Ahli Lembaga Pengarah Universiti, pengurusan tertinggi UPNM dan pegawai-pegawai kanan universiti. - DagangNews.com