Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Melaka sumbang 47.7% kepada KDNK Malaysia pada 2022 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Melaka sumbang 47.7% kepada KDNK Malaysia pada 2022 - DOSM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka menyumbang sebanyak 47.7% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2022, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, ia dapat dilihat melalui prestasi pelancongan domestik yang memulih secara luar biasa dengan mencatatkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM64.1 bilion berbanding RM18.4 bilion pada tahun 2021, iaitu peningkatan sebanyak 248.1%.

 

Beliau berkata, bilangan pelawat domestik turut melonjak 160.1% kepada 171.6 juta pelawat berbanding 66 juta pelawat pada tahun sebelumnya. 

 

Katanya, Selangor menerima paling ramai pelawat domestik iaitu 22 juta orang, diikuti Kuala Lumpur dan Sarawak masing-masing menerima 16.9 juta dan 15.5 juta pelawat. 

 

"Manakala bagi pelancong domestik, ia meningkat 337.1% kepada 65.1 juta orang berbanding 14.9 juta orang pada tahun 2021," katanya dalam kenyataan media Laporan Sosioekonomi Negeri 2022 di sini.

 

Menurut Mohd Uzir, Pahang mencatatkan peningkatan pelancong domestik tertinggi iaitu sebanyak 511.8% dengan ketibaan pelancong seramai 7.8 juta orang berbanding tahun sebelum iaitu 1.3 juta orang. 

 

Katanya, ia sekali gus melonjakkan pertumbuhan aktiviti kesenian, hiburan dan perkhidmatan persendirian lain negeri Pahang kepada 96.7%, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan sektor perkhidmatannya pada kadar 16.8%, mengatasi pertumbuhan di negeri-negeri lain. 

 

 

dosm

 

 

"Peningkatan aktiviti pelancongan ini telah menyumbang kepada peningkatan prestasi subsektor berkait pelancongan seperti perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman dan penginapan yang merekodkan pertumbuhan dua digit di semua negeri," katanya.

 

Dalam pada itu, lima negeri merekodkan aktiviti pelaburan yang tertinggi, didahului oleh Johor dengan nilai pelaburan diluluskan sebanyak RM70.6 bilion. Ini diikuti oleh Selangor (RM60.1 bilion), Sarawak (RM28.2 bilion), Kuala Lumpur (RM25 bilion) dan Pulau Pinang (RM16.3 bilion).

 

Empat negeri menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan pertumbuhan KDNK melebihi nasional iaitu Pulau Pinang (13.1%), Selangor (11.9%), Pahang (10.8%) dan Kuala Lumpur (9.2%). 

 

Dari perspektif prestasi KDNK per kapita, semua negeri mencatatkan peningkatan berbanding tahun 2021. Lima negeri merekodkan nilai KDNK per kapita melebihi paras nasional (RM54,785) iaitu Kuala Lumpur (RM126,423), Labuan (RM85,522), Sarawak (RM80,772), Pulau Pinang (RM69,591) dan Selangor (RM59,804).

 

Selain itu, pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan juga didorong prestasi eksport yang baik di Pulau Pinang (30.3%), Selangor (8.8%) dan Kedah (36.1%).

 

Perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan purata tertinggi direkodkan di Putrajaya iaitu RM8,897. Lima negeri lain turut mencatatkan perbelanjaan penggunaan isi rumah melebihi purata nasional (RM5,150) iaitu Kuala Lumpur (RM7,823), Selangor (RM6,770), Melaka (RM5,707), Johor (RM5,342) dan Pulau Pinang (RM5,322). - DagangNews.com