Leonardo pamerkan aset teknologi terkini pada LIMA 2023 | DagangNews Skip to main content

Leonardo pamerkan aset teknologi terkini pada LIMA 2023

Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 21 Mei - Firma pertahanan global, Leonardo hadir pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2023 untuk mempamerkan teknologi terkini dalam memenuhi keperluan keselamatan serantau.

 

Syarikat yang beribu pejabat di Itali itu akan mempromosikan penawarannya bagi pelbagai platform pesawat udara serta kemampuan maritim untuk beroperasi di kawasan Asia-Pasifik.

 

Bagi segmen maritim pula, kapal peronda luar pesisir serbaguna Tentera Laut Itali, Francesco Morosini yang dilengkapi dengan beberapa sistem terkini daripada Leonardo akan berlabuh di Langkawi untuk pameran tersebut.

Tentera Laut Diraja Malaysia dua tahun lalu menerima tiga buah helikopter Leonardo AW139.
Tentera Laut Diraja Malaysia dua tahun lalu menerima tiga buah helikopter Leonardo AW139.

 

Leonardo dalam satu kenyataan memaklumkan, tahun 2023 juga istimewa kerana meraikan ulangtahun ke-40 tahun firma tersebut mempunyai pejabat operasi di negara ini.

 

"Malaysia telah menjadi hub Asia-Pasifik untuk aktiviti penerbangan penting termasuk penubuhan kemudahan penyelenggaraan, latihan dan logistik helikopter serantau.

 

"Dalam tempoh 10 tahun lalu ia telah menerima pelanggan serantau untuk kerja-kerja penyelenggaraan helikopter," ujar kenyataan itu.

 

Ketika ini hub selenggaraan pesawat Leornado di Malaysia mempunyai kira-kira 350 tenaga kerja termasuk 100 jurutera, pakar teknikal, logistik dan jurulatih penerbangan.

 

Ia bagi menjalankan perkhidmatan dan senggaraan membabitkan helikopter Leonardo seperti AW119, AW109, AW139, AW169, AW189, dan AW159 di rantau Asia Tenggara.

Francesco Morosini yang dilengkapi dengan beberapa sistem terkini daripada Leonardo akan berlabuh di Langkawi.
Francesco Morosini yang dilengkapi dengan beberapa sistem terkini daripada Leonardo akan berlabuh di Langkawi.

 

Tentera Laut Diraja Malaysia dua tahun lalu menerima tiga buah helikopter Leonardo AW139 bagi mengukuhkan pengawasan ruang udara di perairan Sabah dan Sarawak.

 

Model AW139 ini turut digunakan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.

 

Terbaru, TUDM bersetuju untuk mendapatkan dua buah pesawat ATR 72MPA/ASW buatan Leonardo sebagai pesawat rondaan maritim. - DagangNews.com