Leong Hup berdepan cabaran kekurangan pekerja untuk segmen penternakan | DagangNews Skip to main content

Leong Hup berdepan cabaran kekurangan pekerja untuk segmen penternakan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Feb - Leong Hup International Berhad berhadapan kesukaran untuk mengembangkan segmen penternakan pada tahun ini akibat kekurangan pekerja.

 

MIDF Research berkata, isu itu juga membuatkan mereka terpaksa memperlahankan usaha untuk membuka lima cawangan sebulan kepada 16 cawangan bagi FY22 sebaliknya memberi fokus untuk meningkatkan pendapatan di setiap cawangan. 

 

"Kumpulan ini bagaimanapun yakin dengan Perjanjian Persefahaman (MoU) bersama Indonesia sebelum ini akan membantu menyelesaikan isu tenaga pekerja secara tentatif menjelang April ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, keuntungan bersih Leong Hup International menyusut sebanyak 27.7% kepada RM37.99 juta pada 4Q21 berbanding RM52.55 juta pada tahun lalu. 

 

Penurunan itu adalah disebabkan peningkatan kos bahan makanan yang menjejaskan segmen ternakan dan produk berkaitan ternakan kumpulan itu, walaupun terdapat peningkatan dalam harga jualan purata (ASP).

 

Firma penyelidikan itu berkata, subsidi kerajaan sebanyak 60 sen untuk setiap kilogram ayam dan 5 sen untuk sekilogram telur akan membantu meningkatkan permintaan dan keuntungan buat kumpulan itu.

 

BACA JUGA: MIDF semak turun saranan kepada 'neutral' terhadap Leong Hup International

 

Katanya, walaupun harga siling ditetapkan pada RM5.90 sekilogram dan RM8.90 sekilogram bagi ayam pedaging serta ayam runcit, kumpulan itu dijangka mampu mengekalkan margin keuntungan pada tahap yang baik kerana model perniagaan bersepadu yang dimilikinya.

 

leon

 

"Kami juga menjangkakan perkembangan positif untuk segmen QSR kumpulan itu di Malaysia menerusi Baker's Cottage dan sedang berusaha untuk bertapak di Indonesia dan pada masa sama mencari peluang di negara-negara lain untuk berkembang," katanya.

 

Fima penyelidikan itu mengekalkan saranan 'neutral' untuk saham-saham Leong Hup International dengan sasaran harga tidak berubah sebanyak RM0.59 sesaham berdasarkan kepada prestasi kumpulan selama dua tahun.

 

"Walaupun berdepan pelbagai cabaran, kami yakin dengan kumpulan itu berdasarkan kepada beberapa perkara termasuk skala ekonominya, integrasi perniagaannya dan kepelbagaian geografinya," katanya. - DagangNews.com