LinkedIn sediakan pendekatan baharu untuk pencari kerja | DagangNews Skip to main content

LinkedIn sediakan pendekatan baharu untuk pencari kerja

LinkedIn

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 30 Okt. - Platform perkhidmatan perniagaan dan perkerjaan profesional, LinkedIn tampil dengan pendekatan baharu bagi membantu orang ramai mencari dan mendapatkan pekerjaan dengan lebih mudah.

Pendekatan tersebut membantu pencari kerja untuk mengenal pasti peluang kerjaya baharu di samping kemahiran baharu yang diperlukan untuk terus berdaya saing dalam peranan dan industri yang berbeza.

Melalui paparan baharu yang diperkenalkan, pencari kerja diberi peluang untuk menyertai kursus Pembelajaran LinkedIn untuk membina kemahiran yang diperlukan.

Kursus berkenaan juga dapat menghubungkan pencari kerja dengan pengguna LinkedIn lain yang mempunyai peranan sama, sekali gus membuka peluang penawaran bimbingan kerjaya.

Platform berkenaan juga mampu mendorong majikan untuk memilih pekerja berdasarkan kepada kemahiran yang dimiliki berbanding kelayakan tradisional atau pengalaman masa lalu.

Naib Presiden Penyelesaian Bakat dan Pembelajaran LinkedIn Asia Pasifik, Feon Ang berkata, peluang untuk mendapatkan pekerjaan baharu amat sukar dalam tempoh yang mencabar kini sekali gus memerlukan kepada pemerkasaan pemikiran baharu.

 

Feon Ang
Feon Ang

 

"Tidak kira apa yang anda telah pelajari atau di mana anda telah bekerja. Anda mesti bersedia untuk meningkatkan kemahiran ketika anda menjalankan tugas baharu atau menceburi bidang baharu.

"Di LinkedIn, kami komited untuk membantu pencari kerja membuat perubahan ini dengan mempelbagaikan pendekatan yang ada.

"Kami juga mendorong syarikat untuk mengambil pekerja berdasarkan kepada kemahiran berbanding dengan pencapaian akademik atau pengalaman lalu kerana ia akan menyumbang kepada pemilihan yang adil untuk semua," jelasnya.

 

Antara pendekatan yang dapat digunakan pencari kerja untuk mendapatkan peluang pekerjaan baharu ialah;

Penilaian kemahiran

  • Penilaian kemahiran membolehkan pengguna menunjukkan tahap kemahiran masing-masing kepada pihak pengurusan dan rangkaian mereka sekali gus membantu mereka untuk menonjol dalam kalangan calon yang lebih berpengalaman.
  • Kini terdapat hampir 100 penilaian kemahiran yang tersedia di LinkedIn.
  • Pencari kerja yang berjaya memperoleh lencana kemahiran mempunyai kelebihan 20% untuk diambil bekerja.

 

Persiapan temuduga

  • Pencari kerja dapat menggunakan pendekatan temuduga di LinkedIn yang merangkumi soalan yang sering diajukan, panduan menjawab serta maklum balas mengenai jawapan latihan yang direkodkan.
  • Pendekatan tersebut akan memenuhi tugas tertentu seperti jurutera perisian yang merupakan pekerjaan paling diminati dalam platform LinkedIn.
  • Platform LinkedIn juga mendorong lebih ramai majikan mengambil pekerja berdasarkan kemahiran.

 

 

Susulan itu, LinkedIn menyediakan pendekatan berikut untuk pihak PKS dan pengurus;

Catatan percuma untuk PKS

  • PKS kini boleh membuat catatan perniagaan di LinkedIn secara percuma sekali gus memudahkan proses pengambilan pekerja dilakukan.
  • Ia sekali gus meningkatkan jumlah peluang pekerjaan di platform berkenaan.

 

Membuka tawaran pekerjaan (#Hiring)

  • Pengurus yang ditugaskan untuk mengambil pekerja dapat membuat perkongsian semasa mereka merekrut selain meluaskan lagi jaringan kepada pencari kerja.  - DagangNews.com