Liputan 4G di Sabah capai 86.9% kawasan berpenduduk - Annuar Musa | DagangNews Skip to main content

Liputan 4G di Sabah capai 86.9% kawasan berpenduduk - Annuar Musa

Tan Sri Annuar Musa

KOTA KINABALU 3 Jun - Liputan rangkaian 4G di Sabah kini telah mencapai 86.9% kawasan berpenduduk di negeri itu, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

 

Beliau berkata, pencapaian itu merupakan hasil usaha bersepadu dalam memperkasa infrastruktur perkhidmatan jalur lebar terutamanya menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di Sabah.

 

“Kita bersetuju supaya MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) negeri duduk dengan kerajaan negeri, untuk melihat adakah kawasan berpenduduk itu benar-benar termasuk dalam 'mapping' kita.

 

“Macam Sabah sudah sampai 86.9% kawasan berpenduduk,  tetapi sampai (liputan rangkaian 4G) dan kualiti adalah lain. Sampai (liputan) maksudnya kawasan itu ada kesalinghubungan (connectivity).

 

“Tapi kita tahu dalam soal rangkaian jalur lebar, sampai (liputan rangkaian) itu tidak statik dan dinamik, kerana apabila semua (penduduk) balik kampung serta ramai menggunakan (internet) kelajuannya akan tersekat-sekat, namun, bila tidak ramai menggunakannya rangkaian akan laju,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

 

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital, Industri Kreatif dan Komunikasi (MEDIKK) Bil 1/2022 hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Mohammad Mentek.

 

Annuar berkata, walaupun berpuas hati dengan kemajuan pelaksanaan JENDELA, namun beliau mahu setiap projek pembangunan dirancang di bawah pelan itu, seperti menambah menara baharu dan menaik taraf menara sedia ada, dipercepatkan.

 

Beliau berkata, kementeriannya turut meneliti beberapa teknologi baharu untuk memastikan perkhidmatan rangkaian Internet sampai ke semua kawasan termasuk di pedalaman, seiring dengan matlamat memastikan liputan rangkaian 4G di seluruh negara mencapai 96.9% menjelang akhir tahun ini.

 

Menurutnya, hampir 99% rangkaian jaringan 3G telah ditutup dan kira-kira 86 hingga 87% pengguna telah pun menggunakan rangkaian 4G setakat ini.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Annuar mengarahkan MCMC untuk memantau seterusnya menangani isu menara telekomunikasi dibangunkan secara haram, kerana beliau turut menerima beberapa maklumat berhubung perkara berkenaan di Johor dan beberapa negeri lain.

 

“Menara haram itu tidak boleh dibenarkan. Saya harap MCMC melihat masalah ini kerana ia boleh menimbulkan banyak masalah termasuk isu keselamatan, selain kehilangan hasil kepada kerajaan tempatan dan mewujudkan gangguan kepada perkhidmatan yang diberikan,” katanya.

 

Sementara itu, Annuar berkata, mesyuarat MEDIKK bersetuju supaya kementerian dan MCMC, berbincang dengan wakil setiap negeri bagi memperkemas serta menambahbaik proses pelaksanaan projek JENDELA, termasuk dalam hal-hal berkaitan kelulusan tapak pembinaan prasarana berkaitan, lapor Bernama.

 

“Tiap negeri ada kaedah dan peraturan tersendiri tanpa kita mencampuri bidang kuasa kerajaan negeri terutama dalam soal tanah, tapi ada ruang kita membentuk persefahaman dengan cara bertukar maklumat.

 

“MCMC akan menyediakan satu kerangka berdasarkan kepada pengalaman masa lalu dan negeri-negeri, kita akan duduk secara khusus untuk kita bantu supaya mempercepat projek pembangunan infrastruktur jalur lebar di masa akan datang,” katanya, sambil menambah, MCMC juga diminta bekerjasama rapat dengan wakil rakyat, bagi menangani aduan rakyat seterusnya memberi perkhidmatan liputan internet lebih bermutu.

 

“Rakyat juga boleh terus memberi maklumat mengenai sebarang permasalahan berkaitan perkhidmatan jalur lebar di kawasan masing-masing melalui portal Jendela Map bagi memudahkan MCMC bersama syarikat telekomunikasi mengatasi masalah tersebut,” katanya. - DagangNews.com