‘Lockdown’ berpanjangan berisiko buat kewangan V.S Industry | DagangNews Skip to main content

‘Lockdown’ berpanjangan berisiko buat kewangan V.S Industry

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Jun - Walaupun V.S Industry Berhad (VSI) dilihat masih mampu ‘menanggung’ had kapasiti 60% tenaga kerja, namun penguatkuasaan ‘lockdown’ yang berpanjang dijangka memberi impak ke atas output dan keberuntungan kumpulan. 

 

“Pelanggan utamanya mengetahui mengenai perkembangan ini dan bekerjasama dengan VSI untuk memastikan output yang optimum.

 

“VSI terus melihat pesanan yang kukuh dari pelanggan utamanya bagi operasi di Malaysia,” jelas penganalisis di CGS-CIMB Research, Syazwan Aiman Sobri dalam satu nota kajian hari ini. 

 

VSI dalam satu taklimat penganalisis yang turut melibatkan CGS-CIMB baru-baru ini, mendedahkan bahawa beberapa rantaian bekalannya didapati terhad ekoran kekurangan cip global dan kos pengangkutan yang kian meningkat, menurut Syazwan Aiman.

 

Pelanggan menerusi syarikat pembuatan teknologi itu mengurangkan impak tersebut dengan mendapatkan inventori cip untuk jangka masa yang lebih lama iaitu selama 12 bulan daripada tempoh inventori biasa, enam bulan untuk mengelakkan gangguan bekalan.

 

“Kami menurunkan unjuran perolehan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2021 (FY21) hingga FY23 sejajar dengan maklumat yang disediakan VSI selepas taklimat bersama penganalisis itu. 

 

“Kami juga meningkatkan harga sasaran (TP) kepada RM1.66 setelah mengambil kira hasil waran daripada waran 1 untuk 5 percumanya baru-baru ini, yang dijangka disenaraikan pada 22 Jun 2021. 

 

“Kami kekal positif ke atas saham itu kerana prospek pertumbuhan hasil yang kukuh daripada pangkalan pelanggannya yang berpelbagai dan potensi untuk mendapatkan klien utama baharu lain, di mana bertindak sebagai pemangkin penarafan semula,” tambah beliau lanjut.

 

CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘tambah’ ke atas saham VSI. 

 

Baca : Perolehan melebihi ramalan, CGS-CIMB naikkan TP V.S Industry

 

Sebagai rekod, VSI menyaksikan keuntungan bersih utamanya melonjak sebanyak 229% bagi tempoh sembilan bulan pertama FY21 (9MFY21), di mana prestasi terbaik dicatatkan kumpulan setakat ini. 

 

Hasilnya pula berkembang 29.7% bagi tempoh sama, dipacu oleh sumbangan lebih tinggi dari pelanggan di Amerika Syarikat (AS) yang diperolehnya pada FY19 serta pelanggan produk pembersihan kolam bagi operasi kumpulan di Malaysia. - DagangNews.com