Lok Kawi terima manfaat menerusi projek perumahan terbaharu SUDC | DagangNews Skip to main content

Lok Kawi terima manfaat menerusi projek perumahan terbaharu SUDC

KOTA KINABALU 11 Sept. – Nilai komuniti dan komersil di kawasan sekitar Lok Kawi dijangka terus meningkat didorong oleh projek perumahan baru oleh Sabah Urban Development Corporation Sdn Bhd (SUDC).

SUDC merupakan anak syarikat milik penuh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO). Sebagai pembangun hartanah di Sabah, SUDC sekali lagi membuktikan komitmennya dalam pembangunan perumahan mampu milik untuk rakyat Sabah khasnya.

Pembangunan Seri Sutera merupakan projek usaha sama atau pun perkongsian pintar di antara SUDC dan Besta Wijaya Sdn Bhd (BWSB), di mana SUDC adalah pemaju manakala BWSC  bertindak sebagai kontraktor pembiayaan.


Dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM66.7 juta, apartmen berkepadatan rendah ini terletak di atas tanah seluas 2.42 ekar. Ianya terdiri daripada dua bangunan tujuh tingkat dan jumlah keseluruhannya adalah sebanyak 238 unit kediaman dengan rekaan moden.

Pengarah Urusan SUDC, En. Anthony Dumpangol berkata, SUDC adalah komited untuk membangun dan merangsang ekonomi negeri Sabah menerusi aktiviti pembangunan hartanah dan Seri Sutera adalah salah satu daripada aktiviti berterusan SUDC.

"Projek perumahan mampu milik adalah bukti komitmen kami untuk membina rumah yang bukan sahaja boleh diwarisi oleh generasi akan datang tetapi juga meningkat dari segi nilai. Seri Sutera juga mempamerkan keupayaan kami untuk merubah tanah yang sebelum ini tidak berpotensi dan kurang dibangunkan di Lok Kawi menjadi satu kawasan komuniti yang boleh berdiri dengan sendiri.

“Memandangkan lokasinya yang sangat strategik, penjualan Seri Sutera kini mencecah sebanyak 70%. Kami sangat teruja dengan sambutan baik terhadap projek rumah mampu milik ini. Ia jelas menunjukkan keyakinan para pembeli terhadap kami dan juga lokasi pembangunan ini.”

“Papar sememangnya daerah yang memiliki potensi besar untuk pertumbuhan di masa akan datang yang mana ia dikelilingi oleh daerah-daerah yang sedang membangun seperti Putatan di Utara dan Kinarut di Selatan. Malahan, ianya terletak berdekatan dengan sempadan Penampang dan Papar,” tambah Dumpangol.

“Di samping itu, bandar ini dijangka meraih manfaat apabila jalan Papar-Kota Kinabalu, yang merupakan sebahagian daripada Lebuhraya Pan-Borneo, dinaik taraf untuk menambah baik aliran trafik yang dibawa oleh pembangunan pesat.”

“Terdapat juga projek-projek menarik di sepanjang pantai Lok Kawi. Ini termasuk KK Resort City yang bernilai sebanyak RM5 bilion dan juga pembangunan bercampur menghadap laut bernilai RM7 bilion. Projek-projek berkaitan pelancongan ini pastinya akan mewujudkan banyak peluang pekerjaan di sekitar kawasan Lok Kawi dan seterusnya projek perumahan mampu milik ini akan mendapat manfaat apabila tenaga kerja akan meningkat dalam bilangan yang ramai untuk tempoh beberapa tahun ini,” kata Dumpangol.

Seri Sutera ini dikelilingi oleh pelbagai jenis kemudahan seperti restoran KFC, pasar raya CKS dan G-Mart; sekolah-sekolah, Klinik Kesihatan Kinarut dan  juga Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Semuanya dalam lingkungan jarak 15km.

Pembangunan perumahan itu mempunyai empat pilihan keluasan iaitu Type A: 1,079 kaki per segi (sq.ft.); Type B:943 sq.ft.; Type C: 890 sq.ft. dan Type D: 568 sq.ft. Setiap aras mengandungi 17 unit dengan dua (2) lif. Setiap unit direka dan berfungsi untuk memaksimumkan kegunaan ruang. Ianya lengkap dengan lantai berlapis selain jubin sehingga ke siling. Unit-unit ini berharga dari RM175,000 dan ke atas.

Fasiliti-fasiliti yang ditawarkan adalah seperti pintu masuk keselamatan moden, kolam rekreasi dan laluan santai, kawasan membasuh kereta, ruang meletak kereta yang mencukupi dan juga keahlian percuma di Kelab Mont Elkay. Ahli-ahli Kelab Mont Elkay pula akan menikmati kemudahan seperti kolam renang, gimnasium, gelanggang badminton, taman permainan kanak-kanak, tempat BBQ, Kopitiam, kedai runcit dan juga dewan serba guna.

Seri Sutera dijadual akan siap pada tahun 2021. - DagangNews.com