Lokar disediakan di sekolah rendah atasi isu beg berat, kata Dr Radzi Jidin | DagangNews Skip to main content

Lokar disediakan di sekolah rendah atasi isu beg berat, kata Dr Radzi Jidin

Kementerian Pendidikan tampil dengan tujuh pendekatan baharu bagi memastikan isu tersebut dapat ditangani sebaik mungkin.

KUALA LUMPUR 6 Mac - Sekolah-sekolah rendah akan menyediakan lokar sama seperti amalan sekolah di Amerika Syarikat, sebagai satu daripada tujuh ketetapan serta perincian bagi menangani isu beg berat yang dihadapi murid sekolah secara menyeluruh oleh Kementerian Pendidikan.

 

Menteri Kanannya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, selain penyediaan lokar di sekolah rendah, enam ketetapan lain ialah penyusunan semula jadual waktu, bilangan buku latihan, penggunaan buku aktiviti dan kerja, pengenalan buku teks digital, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP), serta kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

 

Menurut beliau, isu melibatkan beg berat telah lama dibangkitkan ibu bapa dan guru serta masih belum diselesaikan. 

 

Oleh itu ujar beliau, Kementerian Pendidikan tampil dengan tujuh pendekatan baharu bagi memastikan isu tersebut dapat ditangani sebaik mungkin terutama melibatkan murid Tahap Satu di sekolah rendah. 


 

Datuk Dr Radzi Jidin
                                  Datuk Dr Radzi Jidin

 


''KPM memutuskan untuk menyediakan lokar peribadi kepada setiap murid di sekolah rendah yang beroperasi secara dua sesi dengan pendekatan itu dilaksanakan melalui dua fasa. 

 

''Dalam fasa pertama, lokar akan disediakan bagi murid tahap satu iaitu Tahun 1, 2 dan 3 melibatkan sebanyak 10,662 kelas dengan 323,186 murid di seluruh negara. 

 

“Penyediaan lokar ini akan melibatkan peruntukan berjumlah RM37.3 juta,'' katanya dalam satu hantaran video menerusi laman Facebook beliau hari ini. 

 

KPM

 

Bagi fasa dua pula kata Dr Radzi, penyediaan lokar akan diperluas kepada murid Tahap Dua iaitu Tahun 4, 5 dan 6 di sekolah rendah yang beroperasi secara dua sesi pada tahun 2023. 

 

“Bagi murid sekolah satu sesi pula, murid akan menyimpan buku di laci meja bilik darjah masing-masing. Ini merupakan satu pendekatan baharu buat pertama kali dilaksanakan KPM,” katanya. - DagangNews.com