Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 19 Okt. - Malaysia sebagai rakan dagangan utama Singapura memainkan peranan penting terhadap prospek eksport negara jiran berkenaan.
Disebabkan itu, kes jangkitan COVID-19 global yang meningkat mendadak terutamanya di Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) berkemungkinan mendorong permintaan eksport Singapura kembali mendatar, kata CGS-CIMB Research.
“Indeks Pengurus Pembelian (PMI) oleh Institut Pengurusan Pembelian dan Bahan Singapura (SIPMM) stabil pada beberapa bulan kebelakangan ini (50.3 pada September berbanding 50.1 pada Ogos 2020).
“Ini menunjukkan walaupun prestasi buruk dari segi pemotongan kapasiti dan permintaan telah berakhir, namun pemulihan kekal berlarutan dan tidak sekata.
“Peningkatan jangkitan COVID-19 di peringkat global pada bulan ini, yang menyebabkan perintah berkurung bersasar di negara dagangan utama seperti Malaysia dan EU mungkin melambatkan permintaan eksport Singapura,” kata CGS-CIMB dalam nota kajiannya.
Kes COVID-19 yang meningkat mendadak ‘memaksa’ Malaysia untuk melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKP Diperketat (PKPD) di beberapa kawasan.
Setakat 18 Oktober 2020, Malaysia mencatatkan 871 kes positif baharu dengan lima daripadanya merupakan kes import.
Pada bulan lalu, penghantaran barangan elektronik ke 10 pasaran utama Singapura kecuali Hong Kong dan Jepun meningkat, ini terutamanya mengukuh di Malaysia (meningkat 83.8% berbanding tahun lalu) didorong lonjakan eksport litar bersepadu (IC).
Bagaimanapun, terdapat risiko lain yang mempengaruhi prosek positif eksport Singapura termasuk kebimbangan terhadap rangsangan fiskal Amerika Syarikat (AS), tambah CGS-CIMB.
“Risiko jangka pendek termasuklah rangsangan fiskal AS terhenti, ketidakpastian mengenai pilihan raya presiden AS, dan ketegangan antara AS dan China yang bertambah,” jelas CGS-CIMB. - DagangNews.com