Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 29 Okt. - Untung bersih teras Lotte Chemical Titan Holding Bhd. dijangka kembali pulih pada suku keempat ini dengan meningkat kepada RM303 juta berbanding RM51 juta pada suku sebelumnya didorong oleh harga polimer naphtha yang lebih tinggi.
Penganalisis CGS-CIMB, Raymond Yap berkata, sebaran Lotte Chemical bagi naphtha pada Oktober dan November akan kembali pulih selepas mencecah paras rendah pada suku ketiga memandangkan harga jualan polimer berkembang kukuh sejak akhir September hingga minggu berakhir 22 Oktober 2021.
Katanya, keadaan ini disebabkan kenaikan kos tenaga dan bahan mentah yang lebih tinggi di peringkat global.
"Jika situasi pada Disember sama seperti yang kami jangkakan pada November, kami berpendapat sebaran polimer Lotte Chemical berbanding naphta akan pulih sekitar AS$638 satu tan metrik pada suku keempat (berbanding AS$569 satu tan metrik pada suku ketiga), walaupun masih rendah berbanding AS$730 hingga AS$768 satu tan pada suku pertama dan kedua tahun ini," katanya dalam nota kajian hari ini.
Tambah beliau, selain itu, cukai tertangguh sekali sebanyak RM69.5 juta pada suku ketiga juga tidak akan berulang lagi menjadikan prestasi Lotte Chemical yang lebih baik pada suku keempat.
"Pada masa sama, kadar penggunaan kilang di Malaysia pula sepatutnya pulih sehingga 88% pada suku keempat (berbanding 76% pada suku ketiga), jika tiada aktiviti pemulihan," tambahnya.
Ini membolehkan firma itu mengekalkan saranan 'tambah' bagi saham Lotte Chemical dengan harga sasaran pada RM2.93.
Baca : Untung bersih Lotte Chemical bagi Q3 susut 38% kepada RM48.84 juta
Semalam dalam makluman di Bursa Malaysia, untung bersih Lotte Chemical bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021 susut 38% kepada RM48.84 juta berbanding RM78.77 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Ini disebabkan peruntukan di bawah perbelanjaan cukai tertunggak daripada pelarasan cukai yang timbul daripada audit cukai dan perbelanjaan boleh ditolak bukan cukai tertentu termasuk pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan yang lebih rendah (EBITDA).
Bagaimanapun, perolehan bagi suku berkenaan meningkat 15.26% kepada RM2.24 bilion berbanding RM1.94 bilion didorong kenaikan harga purata jualan (ASP) produk berikutan kos bahan mentah yang lebih kukuh.
Bagi tempoh kumulatif 9 bulan berakhir 30 September 2021, Lotte Chemical merekodkan keuntungan selepas cukai berjumlah RM873 juta, melonjak berlipat kali ganda daripada hanya RM4 juta yang direkodkan bagi tempoh sama 2020.
Menurut Yap, Lotte Chemical mengisytiharkan dividen sesaham (DPS) khas yang tidak dijangka sebanyak 18 sen, yang mana adalah melebihi 50% pembayaran dividen biasa.
"Oleh itu, kami menjangkakan DPS akhir sekitar 25 hingga 26 sen akan diumumkan pada Mac atau April 2022.
"Kami menganggarkan pulangan kira-kira 28% dalam tempoh 6 bulan akan datang dengan 11% daripadanya menerusi peningkatan modal dan 17% pula daripada dividen," jelasnya. - DagangNews.com