KUALA LUMPUR 13 Mac - Lotus Cars Malaysia membuka Lotus Store pertama di Pavilion Damansara Heights sebagai usaha mengukuhkan jenama itu di negara ini.
Pembukaan ruang pameran Lotus Store di Kuala Lumpur seluas 173.58 meter persegi itu adalah hasil kejayaan pelancaran kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik, Lotus Eletre pada April 2023 yang sehingga kini menyaksikan 50 unit sudah diserahkan kepada pembeli dan 200 unit lagi masih dalam proses penghantaran.
Ruang pameran itu turut menampilkan model Eletre dan Emira selain ruang khas konfigurasi Lotus bagi menyesuaikan kenderaan yang ditempah mengikut citarasa masing-masing selain ruang khusus untuk jualan barangan serta pakaian eksklusif dari jenama itu.
Pembukaan Lotus Store di Pavilion Damansara Heights adalah permulaan kepada pelancaran ruang pameran utama Lotus Cars Malaysia di Glenmarie, Shah Alam yang dijangka siap pada suku kedua 2024.
Lotus juga berhasrat memperluaskan kehadiran jenamanya di wilayah Utara dan Selatan, dan akan memperkenalkan perkhidmatan penyelenggaraan mudah alih untuk menambahbaik kemudahan bagi pelanggan-pelanggannya.
Pengurus Besar Lotus Cars Malaysia, Jack Zaal berkata, pembukaan Lotus Store itu menunjukkan bahawa usaha pengembangan dan memperkenalkan semula jenama itu dilakukan secara berperingkat.
Katanya, proses memperkenalkan semula jenama Lotus itu bukan sahaja bertujuan meyakinkan pemilik sedia ada bahawa pihaknya sentiasa menjaga kepentingan mereka selain mamahami hala tuju jenama itu dalam membangunkan kenderaan premium tanpa jejaskan falsasfah Lotus.
"Penerimaan yang begitu memberangsangkan bagi model seperti Eletre dan juga pelancarannya yang dipacu oleh kesungguhan Malaysia mempromosikan penggunaan kenderaan-kenderaan elektrik, juga berperanan besar melonjakkan jenama Lotus di Malaysia.
"Ia diikuti dengan pelancaran Emira dan juga model-model lain yang akan diperkenalkan seterusnya, ini telah mengukuhkan kedudukan Lotus dan hala tuju jenama itu dalam membariskan model-model berprestasi tinggi yang dipacu tenaga elektrik.
"Lotus Cars Malaysia juga berhasrat meningkatkan usaha meluaskan pasarannya agar pelanggan-pelanggan mempunyai lebih akses kepada jenama tersebut," katanya.
Dibuka setiap hari dari 10.00 pagi hingga 10.00 malam, Lotus Store itu bertempat di dalam pusat membeli belah Pavilion Damansara Heights di tingkat 1, Lot 1.47.02. - DagangNews.com