Lotus’s Malaysia buka cawangan perdana di Pulau Pinang, Johor | DagangNews Skip to main content

Lotus’s Malaysia buka cawangan perdana di Pulau Pinang, Johor

Lotus's Malaysia adalah jenama baharu hasil daripada pengambilalihan Tesco Malaysia. - Gambar hiasan

 

 


KUALA LUMPUR 18  Jun -  Lotuss Stores (Malaysia) Sdn. Bhd. (Lotus's Malaysia), yang sebelum ini dikenali sebagai Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd, telah melancarkan cawangan perdana kedua dan ketiganya, Lotus's Penang E-Gate (Pulau Pinang) dan Lotus's Desa Tebrau (Johor), semalam.

 

Lotus's Malaysia adalah jenama baharu hasil daripada pengambilalihan Tesco Malaysia oleh konglomerat multinasional yang berpangkalan di Thailand, Charoen Pokphand Group Co Ltd (CP Group), Disember lepas.

 

Menerusi pengambilalihan itu, Lotus's Malaysia kini mengambil alih operasi Tesco yang sedia ada dengan lebih 8,600 pekerja merangkumi satu ibu pejabat, dua pusat pengedaran dan 62 cawangan kedai di seluruh Semenanjung Malaysia.

 

Peruncit itu telah membuka cawangan perdana pertamanya di Kepong, Kuala Lumpur pada Mac tahun ini.

 

Presiden Lotus's Malaysia, Kenneth Chuah berkata, kumpulan itu akan memperluaskan penjenamaan semula ke semua cawangan kedainya mulai bulan ini.

 

"Sasaran kami adalah untuk menyelesaikan kesemua cawangan menjelang akhir tahun ini dan terus melabur di dalam negara untuk membuka lebih banyak cawangan kedai di masa depan," katanya dalam kenyataan seperti dilapor Bernama.

 

Beliau menambah kumpulan peruncit itu juga akan mengembangkan kapasiti membeli-belah dalam talian berdasarkan permintaan pelanggannya yang semakin meningkat.

 

"Aplikasi yang kami miliki serta halaman web akan diperbaiki untuk pengalaman pelanggan yang lebih lancar.

 

"Bergerak ke hadapan, kami akan meningkatkan perkhidmatan untuk memberikan layanan terbaik kepada pelanggan,” katanya.

 

Chuah berkata, peruncit juga telah berhenti menawarkan beg plastik sekali guna di kaunter pembayaran sejajar dengan Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018–2030 bagi menjadikan negara ini lebih bersih dan lestari alam sekitar menjelang 2030.

 

"Sebagai sebahagian daripada CP Group, kami menyedari pentingnya menyelesaikan masalah sampah plastik.

 

"Inisiatif kami untuk tidak lagi menawarkan beg plastik sekali guna di kaunter pembayaran melengkapkan prinsip perniagaan kelestarian kumpulan," katanya.

 

Dengan mesej  Bring Home Change, Chuah berkata, kumpulan berhasrat menyebarkan kesedaran dengan menunjukkan bahawa tindakan mudah dengan menggunakan semula beg beli-belah boleh memberikan kesan besar kepada alam sekitar.

 

"Bersama-sama, kami komited untuk mempromosikan dan memulihara kualiti persekitaran, mendidik dan memupuk penglibatan dalam perubahan tingkah laku pengguna untuk pembangunan lestari," katanya.

 

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow turut memuji inisiatif tanpa beg plastik yang diambil oleh peruncit itu.

 

“Dalam usaha berterusan kita mencapai kelestarian masa depan untuk semua, kita perlukan pemimpin dalam industri runcit untuk menerajuinya.

 

“Lotus’s dengan rangkaian 62 cawangan kedai seluruh negara, adalah peruncit terbesar di dalam negara yang memulakan inisiatif ini dan kami berharap peruncit lain, tidak kira besar atau kecil, akan membuat perubahan yang serupa,” kata beliau.

 

Inisiatif bebas penggunaan plastik ini telah dilaksanakan di tiga cawangan perdananya dan akan meliputi baki cawangan kedai di seluruh negara, mulai 1 Julai 2021.

 

Sejajar dengan inisiatif ini, pelanggan yang menggunakan beg guna semula mereka sendiri akan memperoleh lapan mata ganjaran Clubcard untuk setiap beg.

 

Mata ganjaran terkumpul ini kemudiannya boleh ditukar menjadi baucar tunai yang dapat digunakan untuk perbelanjaan di mana-mana cawangan kedai Lotus's.

 

Pelanggan boleh membawa beg sendiri atau membeli beg Lotus's yang boleh digunakan semula. Ia terdapat dalam empat variasi dengan harga antara 50 sen hingga RM9.90. - DagangNews.com